Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pakar: Majlis Peguam tak berkuasa larang Gopal
Diterbitkan:  Oct 30, 2014 12:31 PM
Dikemaskini: 11:42 PM

Pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari berkata ketetapan Majlis Peguam yang melarang bekas hakim kanan daripada bertindak sebagai peguam bukanlah satu undang-undang.

Oleh yang demikian ia tidak berkuasa melarang bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes rayuan sabitan kes Liwat II.

Abdul Aziz berkata, perlembagaan persekutuan memperuntukkan bahawa setiap individu berkuasa untuk memilih peguam mereka sendiri.

Beliau menjelaskan, selagi peguam itu setuju untuk mewakili Anwar, tiada sebab mengapa orang perlu membangkitkan perkara itu.

"Hujah utama bagi Gopal mewakili Anwar adalah perlembagaan, dan ini adalah undang-undang paling tinggi di negara ini. Ia mengatasi yang lain.

"Perhatikan bahawa ketetapan Majlis Peguam berkenaan perkara itu bukan satu undang-undang,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini malam tadi.

Katanya, Anwar berhak untuk memilih peguamnya, dan pertikaian mengenai tindakan Gopal bertindak mewakilinya dalam rayuan Liwat II bukan satu isu.

Beliau mengulas persoalan yang dibangkitkan oleh ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang dan MP DAP, Lim Lip Eng – sama ada tindakan Gopal mewakili Anwar akan menjejaskan kebebasan kehakiman.

Abdul Aziz seterusnya membangkitkan bahawa ketua hakim Mahkamah Persekutuan sendiri bersetuju dengan tindakan hakim yang bersara untuk kembali ke mahkamah sebagai peguam.

"Selain Gopal, kita ada bekas hakim seperti (Tun) Salleh Abas dan (Datuk) RK Nathan yang kembali mengamalkan undang-undang,” katanya.

Menurut pensyarah itu lagi, beliau lebih prihatin dengan isu kebebasan hakim berbanding isu sama ada hakim boleh kembali mengamalkan undang-undang selepas bersara.

“Saya rasa dalam kes ini, kedudukan (peguam kanan, Datuk Seri) Shafee Abdullah lebih membimbangkan dan sukar dibayangkan, berbanding isu Gopal mewakili Anwar,” katanya.

Pejabat Peguam Negara menerima kritikan sebelum ini kerana melantik Shafee sebagai pendakwa, dan bukannya dari kalangan pegawai jabatan tersebut.

Penglibatan Shafee dikritik kerana pernah berkhidmat untuk Umno dan peguam itu juga disiasat kerana didakwa mengemukakan afidavit palsu.

Anwar berulang kali berusaha untuk menyingkirkan Shafee dari pasukan pendakwaan tetapi tidak berjaya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Majlis Peguam Malaysia (MPM) mengekalkan pendiriannya yang melarang bekas hakim untuk muncul di mahkamah mewakili anak guam mereka seperti dinyatakan dalam resolusi badan itu 15 Mac lepas.

    

Presidennya, Christopher Leong berkata walaupun terdapat kebimbangan badan itu dalam isu ini, yang telah dinyatakan di mahkamah, namun Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa pada masa ini tidak ada apa-apa dalam undang-undang yang melarang hakim bersara daripada muncul sebagai peguam di mahkamah.

    

"Majlis juga menyatakan isu-isu baru-baru ini atau kontroversi membabitkan kepatutan atau pelantikan dan kemunculan ketua pasukan pendakwa dalam kes rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    

"Sekali lagi, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa tidak ada yang tidak tepat dalam dalam hal ini," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata: "Walaupun atas sebab-sebab yang berbeza, isu bersama dan kebimbangan Majlis Peguam berkaitan kedua-dua pelantikan dan kemunculan pendakwa utama dan peguam utama (bekas hakim) bagi Anwar dalam rayuan itu keadilan mungkin tidak dapat dilakukan atau mungkin dilihat tidak dilaksanakan."

Bagaimanapun, Leong berkata Majlis Peguam tidak akan mengulas lanjut kerana pendengarwn kes rayuan masih berjalan di Mahkamah Persekutuan.

    

Mesyuarat 15 Mac badan itu menerima usul bahawa hakim bersara dari mahkamah yang lebih tinggi perlu dilarang atau dihalang dari segi undang-undang untuk bertindak sebagai peguam di mahkamah.

    

Semalam, ketua pasukan pendakwaan dalam kes rayuan Anwar, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu pemberita bahawa tiada sesiapa boleh menghalang bekas hakim bertindak sebagai peguam dan ia adalah pilihan mereka untuk berbuat demikian.

    

Pada 3 Julai, 2013, Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria berkata hakim-hakim bersara bebas untuk muncul di mahkamah mewakili anak guam mereka dan tidak kira siapa yang muncul di mahkamah, pihak kehakiman akan menentukan kes berasaskan merit.

    

Beliau menegaskan bahawa badan kehakiman tidak boleh menghalang bekas hakim daripada menjalankan tugas guaman dan tidak harus menyekat hak mereka untuk berbuat demikian.

Kontroversi timbul selepas bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pembelaan dalam kes rayuan Anwar terhadap sabitan kes liwat.

    

Anwar, selaku Ketua Pembangkang, Ketua Umum PKR dan anggota Parlimen Permatang Pauh, didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, di sebuah kondominium di Bukit Damansara di ibunegara pada 26 Jun 2008.

    

Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar, 67, atas kesalahan tersebut.

    

Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar di akhir kes pembelaan.

    

Mahkamah Persekutuan sedang mendengar rayuan itu sejak Selasa lepas.

Lihat Komen
ADS