Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno Sabah tolak hujah Dr M pertahan PERKASA
Diterbitkan:  Oct 30, 2014 2:11 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Hujah digunakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempertahankan gesaan membakar Bible berbahasa Melayu oleh Datuk Ibrahim Ali tidak sah, kata timbalan ketua Umno Sabah.

Datuk Seri Salleh Said Keruak menolak hujah Mahathir semalam yang menyamakan dengan tindakan orang Islam membakar al-Quran lama yang tidak boleh digunakan, kerana ia tidak boleh dibuang.

Ini kerana, kata Salleh, membakar untuk memprotes tidak sama seperti membakar kerana menghormati.

“Dalam hal ini, ini bercakap tentang orang Islam membakar Bible untuk memprotes orang Kristian menggunakan kalimah Allah dalam Bible.

“Ini bukan bermaksud tanda hormat, seperti orang Islam membakar al-Quran buruk dan lusuh,” katanya.

Sementara itu, penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mengulas isu sama berkata berkata hujah berkenaan merupakan satu contoh “klasik” mengenai pemikiran Mahathir yang tidak masuk akal.

“Ini bukan nyanyuk, tapi hujah tidak logik dan degil Mahathir, yang percaya bahawa matlamat menghalalkan cara – tidak kira dengan penipuan, hasutan atau pengkhianatan,” katanya.

Lim juga mendakwa Mahathir gagal membezakan antara tindakan orang Islam membakar al-Quran dengan tindakan membakar kitab suci agama lain.

Katanya, kenyataan Mahathir "tidak wajar” kerana menunjukkan bekas perdana menteri itu bersubahat dengan tindakan yang tidak bertanggungjawab seperti Ibrahim.

"Adakah Mahathir mahu Malaysia menjadi huru-hara kerana orang Islam bebas membakar Bible dan kitab suci agama yang lain...," katanya.

Lim turut mempersoalkan jika kenyataan Mahathir itu bermaksud agar orang bukan Islam juga bebas menuntut agar al-Quran dibakar.

Mahathir semalam mempertahankan kenyataan kontroversi Ibrahim dan berkata ia selari dengan amalan orang Islam membakar al-Quran lama sebagai penyelesaian terbaik melupuskan kitab suci.

 

“Untuk orang Islam, kalau mereka ada sesuatu dokumen yang tidak lagi digunakan sudah tentu kita tidak buang di merata tempat, tidak patut kalau buang dan pijak.

 

“Kita selalu membakar al-Quran, apabila al-Quran itu sudah terlalu lama, sudah tentu kita tidak boleh membuangnya, jadi penyelesaian terbaik dengan bakar.

 

“Mereka patut juga menghormati Bible dan membakarnya seperti Al-Quran, itu lebih baik,” kata Mahathir.

Mahathir merujuk kepada kenyataan Ibrahim seperti dilaporkan laman Free Malaysia Today pada Januari lalu.

Menurut laporan itu, Ibrahim menggesa agar orang Islam bertindak membakar naskhah Bible yang menggunakan kalimah Allah.

 

“Orang Islam harus bersatu untuk mempertahankan agama mereka. Mereka harus mengumpulkan Bible ,termasuk dalam Bahasa Melayu yang mengandungi perkataan Allah dan kata Arab yang lain lalu kitab itu dibakar.

 

“Ini cara menunjukkan kemarahan kepada yang tidak menghormati senstiviti kami,” kata Ibrahim seperti dipetik dalam laporan itu.

Ibrahim pada 13 Oktober lalu menjelaskan bahawa hanya menasihatkan ibu bapa Islam mengambil tindakan itu jika anak mereka menerima naskhah Bible berbahasa Melayu yang mempunyai kalimah Allah sahaja.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS