Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wanita bebas tuduhan bunuh bayi dalam tandas
Diterbitkan:  Oct 30, 2014 3:43 PM
Dikemaskini: 7:47 AM

Seorang bekas pekerja kilang yang sebelum ini didenda kerana melupuskan bayi perempuan yang dilahirkannya di dalam tandas secara rahsia lima tahun lalu, hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di George Town daripada pertuduhan membunuh.

    

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes di luar keraguan munasabah terhadap tertuduh, Nurul Syuhada Shamsudin, 24.

    

"Selepas mempertimbang dan meneliti keterangan daripada pihak pembelaan dan pendakwaan, saya lebih cenderung untuk menerima versi tertuduh yang mungkin lebih benar bahawa bayi itu telah mati sebelum dikeluarkan dari faraj tertuduh.

    

"Oleh itu tidak ada kesalahan membunuh mengikut Seksyen 300 Kanun Keseksaan. Sehubungan itu saya berpendapat pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Sehubungan itu, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes di luar keraguan munasabah. Saya dengan ini memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.  

    

Nurul Syuhada, kini seorang suri rumah, berasal dari Parit Buntar, Perak, didakwa membunuh bayi yang baru dilahirkannya antara jam 3 pagi hingga 7 pagi 31 Disember 2009, di dalam tandas perempuan di kilang Jabil Circuit, Bayan Lepas di George Town.

Dia yang kini mengandung tujuh bulan, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

    

Pada 25 Januari 2011, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Nurul Syuhada tanpa dipanggil membela diri atas tuduhan membunuh bayi yang baru dilahirkannya selepas memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas wanita itu.

    

Pihak pendakwaan kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

    

Pada 6 Mac 2013 Mahkamah Rayuan mensabitkan dan mendenda Nurul Syuhada RM3,000 selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan, iaitu melupuskan bayinya secara rahsia. Dia membayar denda itu.

Mahkamah Rayuan kemudiannya meminda pertuduhan Nurul Syuhada selepas penggantian pertuduhan dilakukan berdasarkan fakta-fakta ketara kes itu.

    

Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

    

Mahkamah Persekutuan memerintahkan wanita itu membela diri atas pertuduhan membunuh dan menghantar kembali kes itu ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

    

Mengikut fakta kes mayat bayi tersebut dijumpai tersangkut dalam lubang tandas kira-kira 2.15 petang keesokan harinya oleh seorang tukang cuci selepas menerima aduan tandas tersumbat.    

    

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Talib manakala Nurul Syuhada diwakili peguam E. Gunasegaran.

- Bernama

Lihat Komen
ADS