Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Suasana di Istana Kehakiman Putrajaya pada hari ketiga prosiding kes Liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini tidak semeriah hari-hari sebelumnya.

Berbeza dengan kira-kira seribu semalam, hanya 200 orang penyokong ketua pembangkang hadir hari ini.

Pada Selasa kira-kira 500 orang hadir.

Berbeza dengan semalam yang dicemari insiden tolak menolak dan lemparan telur ke arah polis, hadirin hari ini hanya bersantai di kawasan mahkamah.

Mereka kelihatan membaca surah Yassin, menunaikan solat Zohor berjemaah sebelum bersurai kira-kira jam 1.45 petang.

Pengarah kempen program itu – yang dinamakan “Rakyat Hakim Negara” – Nik Nazmi Nik Ahmad menganggap perkara itu terjadi ekoran “faktor kerja”.

Lagi pun, tambahnya, rata-rata orang ramai menjangkakan kes itu hanya akan berlangsung dua hari iaitu kelmarin dan semalam.

"Kalau ikut perancangan yang asal mereka datang untuk hari Selasa dan Rabu. Lagipun ada yang datang daripada luar kawasan dan bekerja.

"Jadi untuk hari esok (Jumaat) dan Isnin masih dalam perbincangan (tentang mobilisasi penyokong)," kata exco kerajaan Selangor itu ketika dihubungi Malaysiakini .

Setelah dua hari berlangsung, pihak pendakwaan akan memulakan hujahnya esok sebelum pasukan pembelaan menjawabnya pada Isnin depan.

Sementara itu, turut hadir di Istana Kehakiman hari ini ialah kira-kira 30 orang penyokong pengadu kes Saiful Bukhari Azlan.

Mereka yang berada di kawasan Istana Kehakiman sejak pagi tadi juga melaungkan "tangkap Anwar" sebelum masing-masing bersurai.

Ikuti kronologi prosiding hari ini

Lihat Komen
ADS