Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Exco Pemuda Umno Malaysia, Fathul Bari Mat Jahaya menggesa orang ramai agar tidak menjatuhkan hukum agama sewenang-wenangnya menerusi laman media sosial.

Pengerusi Sekretariat Ulama Muda Umno (ILMU) itu membuat gesaan itu sewaktu mengulas reaksi orang ramai terhadap acara "I Want to Touch A Dog" yang berlangsung baru-baru ini.

Pada masa sama, beliau turut menegur penganjur acara itu, Syed Azmi Alhabshi agar lebih berhati-hati dalam penganjuran acaranya.

"Pihak penganjur program selepas ini nanti perlulah berhati-hati dalam menganjurkan program.

"Untuk yang lain di Facebook, jangan cepat melatah dan keluarkan 'fatwa'," kata Fathul Bari dalam forum bertajuk 'Keterbukaan dan Sensitiviti Lazim: Di Mana Titik Tengah?'di Petaling Jaya, semalam.

Bogaimanapun, Fathul Bari yang juga penceramah agama itu tidak pula menyatakan sama ada program tersebut salah atau tidak pada pandangannya.

Agamawan muda itu sekadarnya menyifatkan ia sebagai "program-program yang sangat janggal".

Ulangi mohon maaf

Namun tegasnya, sifat mengasihani haiwan - termasuklah terhadap anjing - adalah dianjurkan dalam Islam.

Syed Azmi yang hadir pada forum malam tadi mengulangi permohonan maafnya sebelum ini yang gagal mengawal acara tersebut.

Jelas beliau, acara itu sebenarnya mensasarkan mereka yang takut dengan anjing untuk hadir dan menyentuh haiwan tersebut.

"Kita jangkakan mereka ini takut dengan anjing. Tak sangka pula apabila pegang, dia jadi naik syok.

"Mereka (anjing-anjing pada acara) itu comel jadi apabila sudah disentuh, diangkat dan dipeluk pula," katanya.

Beliau mengakui gagal mengawal keadaan sehingga peserta yang beragama Islam mengambil gambar dan bermesra dengan haiwan itu.

"Itu yang salah. Itu yang menyebabkan gambar begitu jadi salah dan saya minta maaf," katanya dalam forum anjuran Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI) - akademi kepimpinan bawah seliaan Pemuda Umno.

Lihat Komen
ADS