Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS: SIS biadab cabar Majlis Fatwa
Diterbitkan:  Oct 31, 2014 11:55 AM
Dikemaskini: 8:30 AM

Pemuda PAS menyelar kebiadaban NGO Sister in Islam yang didakwa mencabar Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan kumpulan yang berpegang kepada liberalisme dan pluralisme.

Timbalannya Muhammad Khalil Abdul Hadi mendakwa tindakan NGO itu mencabar institusi Raja Melayu dan perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan.

Dalam kenyataanya, beliau juga mendakwa NGO itu menyebarkan Islam secara terpesong tanpa sumber-sumber hukum yang nyata.

"Tindakan SIS itu mencabar institusi Raja Melayu yang menjadi payung naungan Islam di negara ini serta Perlembagaan Negara yang telah meletakkan Islam sebagai agama persekutuan.

"Pemuda PAS menyokong dan berdiri teguh bersama Majlis Fatwa Kebangsaan dalam keputusan ini dan merasa kesal atas keengganan SIS untuk akur dengan keputusan tersebut seterusnya bertaubat dan bermuzakarah dengan pihak berwajib bagi membetulkan kesilapan," katanya.

Khalil mengulas laporan media berhubung tindakan SIS yang memfailkan permohonan bersama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mencabar fatwa yang mengharamkan pihak yang "mengakui berfahaman liberalisme arau pluralisme agama."

Anak lelaki kepada presiden PAS itu berkata parti itu tegas menolak liberalisme dan pluralisme apabila muktamar pada 2009 meluluskan usul PAS Shah Alam yang meminta Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan menyiasat dan mengharamkan NGO itu.

Khalid berkata tindakan SIS mencabar fatwa itu ke mahkamah hanya meluaskan sengketa dan degil untuk menjebak masyarakat awam kepada aliran songsang yang dinamakan dengan Islam.

"Inilah satu bentuk pelampau agama yang mesti ditangani pihak kerajaan agar ia tidak membarah dalam masyarakat.

"Kerajaan boleh mencontohi tindakan tegas Majlis Ulama Indonesia yang memfatwakan haram kepada Jaringan Islam Liberal yang membawa pengaruh sama seperti SIS di Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati masyarakat supaya berwaspada dengan agenda pihak tersebut yang didakwanya sewenang-wenang mentafsir dan membentuk amalan bertentangan Islam.

"Sentiasalah merujuk para alim ulama dalam perkara ini kerana kita tidak hanya akan hidup di dunia," katanya.

Lihat Komen
ADS