Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

MP DAP, Tony Pua berkata beliau melihat kedudukan kewangan syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad kini dalam keadaan sukar.

Hinggakan, firma berkenaan kini terpaksa membuat penjadualan semula pembayaran balik hutang berjumlah RM6.17 bilion, katanya dalam sidang media di bangunan parlimen.

Firma berkenaan melanjutkan tempoh pembayaran hutang tersebut selama enam bulan dengan pembiayaan semula sebanyak RM5.5 bilion, kata MP Petaling Jaya Utara itu.

Beliau membuat dakwaan itu dengan memetik kenyataan kewangan yang diserahkan 1MDB kepada Suruhanjaya Syarikat bagi tahun kewangan 2014.

"Kesukaran 1MDB membayar semula pinjamannya dan harga yang dipersetujui syarikat itu untuk pembiayaan semula hutangnya memberikan bukti jelas bahawa syarikat itu berdepan kesukaran untuk mengimbangkan aliran tunainya," kata Pua.

Beliau turut mendakwa 1MDB juga gagal mematuhi tarikh akhir untuk membuat pembayaran penuh sebidang tanah bernilai RM317.3 juta dari syarikat Tadmax Resources Bhd.

Dakwanya, 1MDB membuat pembayaran deposit sebanyak 10 peratus daripada nilai itu pada Februari 2014.

Namun dakwanya lagi, 1MDB gagal membuat pembayaran baki tanah itu walaupun menukar tarikh akhirnya sebanyak empat kali - dari 20 Ogos kepada 30 September dan kemudian 10 Oktober.

Kali terakhir ia ditunda ke tarikh 31 Oktober, kata Pua.

"Mungkin satu-satunya sebab Tadmax tidak melupuskan deposit itu adalah kerana 1MDB bersetuju membayar harga di atas harga pasaran untuk tanah itu," kata Pua.

Menurutnya, 1MDB membayar sebanyak RM23.50 perkaki persegi walaupun harga pasaran tanah itu cuma RM9.93 perkaki persegi.

"Semua ini membuktikan dengan jelas beban kewangan 1MDB dan ia menjelaskan sebab keterdesakan kerajaan untuk menganugerahkan kontrak loji janakuasa berjuta ringgit kepada 1MDB dan penyenaraian anak syarikat tenaganya secepat mungkin," kata Pua.

Lihat Komen
ADS