Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

MP DAP, Tony Pua mempersoalkan tanggungjawab syarikat pelaburan negara, 1MDB yang menurutnya gagal mengemukakan penyata kewangan tahun 2013 untuk empat anak syarikatnya.

Menurut MP Petaling Jaya Utara itu empat anak syarikat itu adalah 1MDB Real Estate Sdn Bhd, 1MDB Energy (Langat) Sdn Bhd, Powertek Investment Holdings Bhd, dan Farlim Properties Sdn Bhd.

Pua berkata perkembangan itu secara tidak langsung memberi imej buruk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku pengerusi lembaga pengarah 1MDB.

"Kekurangan tatakelola, ketelusan dan kebertanggungjawaban dari syarikat milikan penuh kerajaan yang perdana menteri sendiri adalah pengerusi lembaga pengarah adalah mengejutkan dan memalukan," kata Pua.

Beliau membangkitkan perkara itu dalam sidang media di bangunan parlimen pagi ini.

Menurut Pua, Datuk Seri Najib Razak telah memberikan komitmen untuk memfailkan penyata kewangan anak-anak syarikat 1MDB dalam jawapan bertulis di Parlimen pada 8 Oktober lalu.

"Namun, kini sudah pertengahan Oktober dan penyata kewangannya belum lagi kelihatan walaupun ia telah lambat diserahkan selama 24 bulan," katanya lagi.

Beliau menggesa 1MDB agar memastikan anak-anak syarikatnya memfailkan penyata kewangan mereka dengan segera.

"Tiada alasan untuk akaun-akaun anak syarikat ini ditangguhkan melainkan 1MDB ada sesuatu untuk disorokkan," kata Pua.

Lihat Komen
ADS