Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mantan perdana menteri Tun Mahathir Mohamad berpendapat, sesetengah fatwa perlu dikaji supaya ia mengikut kesesuaian semasa.

Katanya, kajian terhadap fatwa perlu dilakukan memandangkan terdapat fatwa yang tidak relevan dengan keadaan sekarang.

Malah, ada juga fatwa pada masa dahulu yang tidak lagi diendahkan pada masa kini, seperti larangan membawa jenazah dengan kenderaan bermotor, katanya yang memberikan contoh.

"Saya masih ingat tentang fatwa yang melarang penggunaan lampu elektrik di masjid atau menggunakan kenderaan bermotor untuk membawa jenazah," katanya.

Dalam ucapan di Sidang Kemucak Kuala Lumpur 2014 itu, beliau bagaimanapun tidak menyatakan pihak berkuasa agama yang bertanggungjawab mewartakan fatwa terbabit, dan juga tahun pewartaannya.

Katanya lagi, fatwa diperlukan bagi menangani cabaran semasa umat umat Islam namun ia mestilah diputuskan selepas kajian dan perbahasan mendalam.

"Kita perlu buat keputusan ke atas apa yang kita boleh buat dan tak boleh buat.

"Tetapi fatwa harus dibuat selepas kajian yang berpanjangan dan perbahasan oleh ilmuan dengan memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada realiti kehidupan moden," katanya.

Bukan ubah ketetapan al-Quran

Bagaimanapun, perubahan fatwa tidak harus disalah ertikan sebagai mengubah ketetapan yang termaktub di dalam al-Quran, katanya.

Jelasnya, beliau bimbang jika tafsiran ke atas maksud yang terkandung di dalam al-Quran itu disalah erti dan tidak selari dengan realiti masa kini.

"Kita tidak boleh ubah al-Quran. Kita tak perlu ubah al-Quran. Al-Quran tidak salah. Ia sempurna. Tetapi tafsiran boleh jadi salah atau tidak tepat dan melebihi masa yang boleh menjadikannya tidak relevan, tidak mampu mengatasi idea baru dan realiti," katanya lagi.

Dalam sidang media selepas itu, Mahathir menjelaskan bahawa beliau sekadar mengulas mengenai fatwa secara umum.

"Saya bercakap mengenai fatwa secara umum. Ada fatwa yang dikeluarkan pada satu-satu masa, tapi kemudian kita dapati fatwa itu tidak lagi relevan.

"Sebab itu, walaupun fatwa kita harus terima, tetapi kita harus kaji fatwa itu (sama ada) sesuai dengan keadaan sekarang.

"Umpamanya (berkaitan) gambar. Dulu gambar dilarang sebab orang suka sembah gambar. Tetapi sekarang kita tak boleh nak elak adanya ambar sebab sekarang ada fotografi.

“Yang penting jangan sembah imej gambar itu. Jadi, fatwa yang dulu, sekarang ini kita tak dapat nak laksana," katanya.

Beliau  diminta mengulas tindakan NGO Sisters In Islam (SIS) yang mencabar fatwa ke atas NGO Islam itu di mahkamah.

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan baru-baru ini mengharamkan kumpulan berkenaan, yang disifatkan sebagai kelompok yang berpegang kepada liberalisme dan pluralisme.

Lihat Komen
ADS