Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Aktivis Fahmi Zainol berdepan risiko hilang tajaan pendidikan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana menganjurkan pidato Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti Malaya.

JPA juga tidak senang dengan kenyataan “negatif” dan “provokatif” terhadap kerajaan dengan mengaitkan tindakannya dengan “Umbrella Revolution” Hong Kong dan rusuhan pelajar di Indonesia.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Ruziah Shafei dalam surat bertarikh 6 November berkata, tindakan Fahmi melanggar terma perjanjian biasiswa yang ditandatangani pada 2011.

Fahmi diberi tujuh hari untuk mengemukakan tunjuk sebab bertulis kenapa pembatalan itu tidak boleh dibuat dan kenapa tuntutan ganti rugi tidak boleh dibuat.

"Kegagalan saudara mematuhi surat ini menyebabkan penajaan saudara boleh ditamatkan serta merta dan tuntutan terhadap saudara dan penjamin akan dilakukan oleh jabatan ini," surat Ruziah itu dipetik.

Sementara itu, Fahmi ketika ditanya tindakannya jika diminta membayar balik biasiswa itu menjawab:

“Saya akan bagi alasan bahawa saya tidak menghina kerajaan. Tetapi saya keluarkan fakta dan sejarah.

“Kerajaan sepatutnya ambil (perhatian) untuk penambahbaikan, bukan berbuat demikian .”

Beliau juga memberitahu Malaysiakini, walau apa pun yang berlaku, perjuangannya melalui aktivisme mahasiswa berbaloi.

“ Saya rasa berbaloi untuk generasi yang akan datang. Saya ada kuasa waktu ini dan saya perlu bertindak.

“Insya-Allah saya akan disoal di akhirat nanti, waktu ada kuasa kenapa tidak lakukan apa-apa dalam menentang kezaliman,” katanya.

Lihat Komen
ADS