Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya wujud unsur rasuah berhubung pemberian projek pembinaan lima loji insinerator.

Katanya, jika Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mempunyai bukti wujudnya unsur rasuah semasa projek itu dijalankan, beliau tidak mempunyai masalah untuk membenarkan suruhanjaya itu menyiasat kementeriannya.

"Kalau PAC menpunyai bukti bahawa ada unsur rasuah semasa projek ini diwujudkan dahulu, saya tak ada masalah untuk SPRM siasat.

"Kita terbuka dan kalau ada isu yang kena dibawa ke SPRM, kita akan bekerjasama untuk siasat apakah ada unsur rasuah sewaktu projek ini ditawarkan dan dibina beberapa tahun dahulu," katanya.

Rahman menjawab soalan berhubung kenyataan Pengerusi PAC Nur Jazlan Mohamed semalam kemungkinan ada unsur rasuah dalam pemberian lima projek pembinaan loji itu dan tindakan terhadap pegawai kanan yang menasihati berkaitan penganugerahannya.

Ditanya sama ada kementerian itu sedia memberi keterangan kepada PAC, Abdul Rahman sekali lagi mengulangi bahawa beliau tiada masalah mengenainya sekalipun pernah menjadi anggota jawatankuasa itu.

"Tak ada masalah. Kalau PAC nak panggil kementerian saya untuk keterangan, kita akan pergi.

"Tiada masalah. Kena ingat, saya sebelum ini salah seorang anggota PAC," katanya.

Ditanya mengenai saranan Nur Jazlan supaya kementerian itu mengambil tindakan terhadap ketua setiausahanya, kontraktor dan ketua pengarah jabatan pengurusan sisa pepejal negara, ahli parlimen Kota Belud itu berkata:

"Soal ketua setiausaha saya dipecat atau dikenakan tindakan itu tidak timbul.

"Pada saya kerana pada waktu ini, semua insinerator itu berfungsi walaupun ada yang berfungsi secara kapasiti penuh tetapi keempat insinator itu dalam keadaan pemulihan atau prestasi tidak sampai seratus peratus.

"Kita sedang cari jalan bagaimana untuk mengoperasikan insinerator itu secara seratus peratus.

"Saya tegaskan di sini, insinerator ini bukan masalah teknologi tetapi masalah pembinaan dan pengoperasian. Teknologi tak ada masalah," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS