Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar kerajaan agar melakukan pendengaran secara terbuka jika serius mahu mengheretnya ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen.

Menurutnya, hanya dengan cara itu perincian lanjut tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) boleh dibahaskan secara terbuka.

Katanya, usaha MP BN mengheretnya dan MP Petaling Jaya Utara Tony Pua ke jawatankuasa itu atas alasan "kesilapan fakta" dalam ucapan belanjawannya adalah percubaan untuk membincangkan isu 1MDB "secara tertutup".

"Saya tiada masalah jika mereka mahu merujuk saya ke jawatankuasa itu.

"Malah, saya rasa ini satu peluang yang baik untuk saya dan Tony Pua melanjutkan lagi hal ini (1MDB)," kata Anwar pada sidang media di Parlimen.

Anwar turut mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mempengerusikan lembaga penasihat 1MDB untuk hadir ke Parlimen bagi menjawab soalan mengenai syarikat pelaburan negara itu.

"Najib perlu menjelaskan kedudukan perkara ini dan jangan biarkannya dipikul oleh orang lain.

"Ini adalah pelaburan swasta dan liabiliti terbesar yang pernah diambil oleh Malaysia," katanya.

Menurut Anwar lagi, beliau tidak gentar jika diheret ke jawatankuasa itu kerana beliau sendiri pernah digantung malah dipenjarakan sebelum ini.

Tegasnya, tanggungjawab untuk menjelaskan semua soalan berkenaan 1MDB dipikul kerajaan.

Lihat Komen
ADS