Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
S'gor serah kembali Bible yang dirampas
Diterbitkan:  Nov 14, 2014 11:27 AM
Dikemaskini: 6:17 AM

Setelah hampir setahun, kerajaan Selangor akhirnya menyerahkan kembali kitab Bible yang mengandungi kalimah Allah yang dirampas daripada Persatuan Bible Malaysia.

Sebanyak 351 kitab suci bagi penganut Kristian itu diserahkan di Istana Alam Shah dalam satu majlis pagi ini kepada Persatuan Gereja-gereja Sarawak (ACS) ketika kunjungan hormat pengerusinya Datuk Bolly Lapok menemui Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Penyerahan itu turut disaksikan Menteri Besar Azmin Ali yang berpakaian baju Melayu warna kelabu lengkap bersampin dan bersongkok.

Bolly turut ditemani Setiausaha Agung ACS Elder Ambrose Linang dan Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia, Rev Dr Herman Shastri.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohammad Adzib Mohd Isa dan Pengerusi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Sementara itu, sambil mengucapkan syukur dan penghargaan kepada baginda dan semua pihak yang terlibat kerana telah mencapai penyelesaian yang baik dalam isu Bible menerusi usaha ikhlas dan menghormati sensitiviti agama dan masyarakat.

"Seperti yang saya katakan beberapa kali sejak memegang jawatan menteri besar, pentadbiran ini akan mengusahakan pelbagai cara untuk menambahbaik dan memupuk persefahaman kaum dan agama di Selangor.  

"Sebagai salah satu perkara utama dalam usul ini, saya telah berikrar untuk memulangkan Bible tersebut kepada pihak Kristian kerana ia milik mereka.

"Kini, terima kasih kerana kebijaksanaan dan pandangan jauh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, ia telah menjadi realiti," katanya dalam satu kenyataan.

Memetik sepotong ayat al-Quran dan pandangan ulama Dr Yusuf al-Qardhawi yang menyaran supaya menjadi masyarakat dan negara yang adil, Azmin berkata penyerahan kitab Bible itu sebagai "pengaplikasian konsep keadilan dan kesederhanaan" yang dituntut dalam Islam.

Tegasnya, semua pihak perlu menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi negeri itu dan sentimen pelampau, provokasi kaum dan fanatik agama tidak akan menjadi sebahagian daripada pentadbiran Selangor.

"Islam adalah rahmatan lil alamin - rahmat untuk semua manusia, dan pentadbiran saya akan terus menyebarkan ajaran Islam dan mempamerkan Selangor sebagai teladan dalam menyokong kesederhanaan dan keadilan," katanya.

Pada 2 Januari lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas 321 Bible bahasa Melayu dan Iban dari Persatuan Bible Malaysia (BSM) bagi membanteras penggunaan kalimah Allah dalam kitab itu yang didakwa melanggar Enakmen 1988.

Namun pada 11 Jun, Pejabat Peguam Negara memaklumkan tidak ada sebarang pendakwaan dibuat berhubung kes rampasan Bible tersebut, sekali gus menutup kes berkenaan.

Lihat Komen
ADS