Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

MP Lembah Pantai Nurul, Izzah Anwar menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendedahkan peta persempadanan semula pilihan raya dalam bentuk digital kepada umum.

Katanya, ia perlu didedahkan bagi membolehkan orang awam mengetahui kawasan yang terlibat dengan persempadanan semula.

"Jika anda mahu buat peta alternatif, seluruh rakyat Malaysia perlu melihatnya.

"Permintaan dan tekanan saya ini akan berterusan pada SPR supaya mereka lebih bertanggungjawab kepada rakyat," katanya.

Katanya, peta kajian persempadanan sepatutnya didedahkan kepada semua dan bukan hanya kepada parti dan kumpulan tertentu.

"Hanya sesetengah kumpulan dan parti yang dibenarkan untuk melihatnua. Ini tidak adil.

"Kita belum melihatnya (kajian persempadanan semula). Hanya ditunjukkan kepada beberapa kumpulan yang berbeza kerana mesyuarat dilakukan berasingan.

"Kita perlu dedahkan kepada orang awam (peta persempadanan pilihan raya dalam bentuk digital).

"Kita telah habiskan duit untuk teknologi kepada SPR dan sekarang kita tanyakan, di mana hasilnya?," katanya lagi.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan buku tulisannya yang bertajuk 'Masa depan, masa kita' versi bahasa Cina di Kuala Lumpur hari ini.

SPR dijangka mewartakan notis kajian semula persempadanan bagi kerusi Parlimen dan DUN pada penghujung tahun ini.

    

Sebelum pemakluman itu, SPR perlu memaklumkan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku ketua kerajaan, mengikut peraturan yang ditetapkan.

Lihat Komen
ADS