Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan akan terus melaksanakan program yang mempunyai kesan secara langsung kepada ekonomi keperluan rakyat bagi memastikan dasar yang dilaksanakan menitikberatkan rakyat dan berada di landasan yang betul.

Ketika melancarkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sabah di Kota Kinabalu pada Sabtu malam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pewujudan UTC, yang merupakan konsep terbaik program kerajaan terhadap rakyat, menyaksikan lebih 7.5 juta pengguna di seluruh negara melahirkan rasa puas terhadap perkhidmatan di pusat itu.

Sehubungan itu, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan akan memperkembangkan konsep UTC dalam pelbagai bidang sejajar hasrat kerajaan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan untuk rakyat, pelabur, malahan pelancong.

"Kerajaan akan meneruskan program transformasi itu kerana kalau hendak menjadi '1st ranking nation', kerajaan akan melihat dan memperbaiki ranking di dunia meskipun kedudukan ekonomi bertambah baik, dan tiada sebab Malaysia tidak dapat muncul sebagai 'High Income Advance Economy'," katanya.

Kerajaan, kata perdana menteri, berada di landasan betul untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 memandangkan Bank Dunia melaporkan Malaysia kini berada di kedudukan ke-18 daripada 189 ekonomi.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.

Najib berkata proses transformasi UTC itu merupakan pencapaian baik dalam aspek pelaksanaan projek dihasilkan dalam suatu tempoh singkat, cepat, dan dengan kos berpatutan termasuk di Sabah.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan juga akan mempertimbangkan untuk membina sebuah UTC baharu kepada rakyat Sabah sebagaimana permintaan Musa.

Najib turut menghargai komitmen Musa menjayakan UTC yang membuktikan nikmat hubungan baik kerajaan pusat dan negeri serta pilihan rakyat Sabah memilih kerajaan Barisan Nasional.

UTC Sabah adalah keenam daripada lapan pusat yang paling unik kerana diubah suai lebih 12 minggu daripada premis perniagaan usang dan ditinggalkan sejak lebih 20 tahun.

Sejak dilancarkan pada 2012, UTC yang merupakan inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan kini terdapat di Perak, Pahang, Kuala Lumpur, Melaka, Kedah, Johor dan Sarawak.

UTC Sabah yang dibuka sejak 16 Dis 2013 pada masa ini menempatkan 41 agensi kerajaan negeri dan persekutuan di bangunan Wisma Khidmat dan Bangunan Menara Khidmat yang menyediakan perkhidmatan seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen dan polis.

Agensi lain yang turut menyediakan perkhidmatan ialah Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Pos Malaysia, Perpustakaan Negeri Sabah, Jabatan Air Negeri Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Sehingga 31 Okt lalu, sebanyak 771,375 pengunjung sudah berkunjung ke UTC Sabah, dengan purata 2,000 pengunjung setiap hari.

Majlis yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung itu turut diserikan dengan nyanyian juara AF 2014 yang berasal dari Sabah, Mohd Firman Bansir atau Firman.

- Bernama

Lihat Komen
ADS