Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
1MDB jamin pelaburannya berhemat, profesional

1Malaysia Development Bhd (1MDB) memberi jaminan semua pelaburannya diurus secara berhemat dan profesional.

"Sesetengah pinjaman adalah dalam bentuk jangka panjang tapi kami percaya komitmen kewangan ini dapat dipenuhi.

"Kami juga dalam proses menambahkan dan mencairkan nilai aset yang kami ambil alih," kata Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Bagi menjawab salah tafsiran terhadap keupayaan 1MDB membayar balik pinjamannya, beliau berkata kumpulan itu sedang meneliti untuk menstrukturkan semula pinjamannya bagi menangani ketidaksesuaian projek pelaburan jangka panjang dan pinjaman jangka pendek.

Beliau berkata projek Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia serta pelaburan dalam sektor tenaga berbentuk jangka panjang dengan tempoh matang mengambil masa yang lama.

Kumpulan itu mencatatkan kerugian RM665.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014 terutama disebabkan oleh kos kewangan yang besar berjumlah RM2.4 bilion berbanding RM1.6 bilion pada tahun kewangan terdahulu.

"1MDB menggabungkan aset Jimah Energy bagi tahun kewangan 2014, mengembangkan secara positif operasi hartanahnya menyebabkan peningkatan perbelanjaan operasi dan kos pembiayaan," kata Lodin.

Nilai asas aset kumpulan meningkat kepada RM51.4 bilion berbanding RM44.6 bilion pada tahun kewangan 2013 dengan pinjaman bertambah daripada RM36.2 bilion kepada RM41.9 bilion.

Pendapatan keseluruhan naik 50 peratus daripada RM2.6 bilion kepada RM4.3 bilion tahun ini mencerminkan kualiti portfolio aset yang sedang dibangunkan dan keutuhan penjanaan pendapatan.

Lodin menegaskan pelaburan yang disimpan di Pulau Cayman sah dari segi undang-undang menerusi subsidiarinya Brazen Sky Ltd atas tujuan cukai dan pelunasan hutang dolar AS.

"Pulau Cayman dianggap sebagai pulau lindungan cukai. Kami dimaklumkan adalah sesuai untuk kami mempunyai syarikat yang didaftarkan di Pulau Cayman dan bagi kami meletakkan dana dalam syarikat ini.

"Ini hanya proses sementara kerana anda perlu ingat dana ini pada asalnya dilabur dalam usaha sama dengan pihak lain," katanya.

Beliau berkata setakat 31 Mac 2014, aset dan liabiliti 1MDB masing-masing berjumlah RM51.4 bilion dan RM48.9 bilion.

Setakat ini 60 peratus atau kira-kira RM4 bilion daripada dana sudah dicairkan bagi pelunasan pelbagai komitmen kewangan 1MDB dan syarikat di landasan untuk mencairkan baki 40 peratus lagi menjelang akhir tahun.

- Bernama

Lihat Komen
ADS