Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mendakwa MP Bukit Bendera bersikap perkauman kerana menyalahkan BN atas kemiskinan masyarakat Melayu di Pulau Pinang.

Ahli majlis tertinggi Umno itu berkata, Zairil sepatutnya turut membangkitkan mengenai dasar pentadbiran BN yang memberi kemajuan kepada orang Cina.

"Kenapa cakap bahawa masalah Melayu Pulau Pinang itu masalah yang diwarisi daripada pemerintahan BN? Kenapa tak cakap kejayaan Cina adalah (daripada) kejayaan BN?

"Tetapi sudah tentu dia akan bersama rakan yang lain dengan mengatakan (masyarakat) Cina berjaya sebab Cina bagus, pandai. Melayu begini sebab kerajaan yang salah.

"Itu kenyataan yang memperlihatkan kecetekan (pandangan) dia dan bersifat berat sebelah dan bersifat perkauman," kata menteri itu.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Komunikasi Mudah Alih dan Pembangunan Luar Bandar di Putrajaya pagi ini.

Shabery juga mendakwa, beliau melihat sikap perkauman itu tersirat dalam kenyataan Zairil walau tidak dinyatakan secara langsung.

"Orang begini berselindung di sebalik meritokrasi. Kemungkinan ada fikiran perkauman. Perkauman tanpa perkauman adalah satu perkara yang perlu diteliti kerana ia berlaku di mana-mana sahaja.

"Dia tak kata dia mengamalkan perkauman tetapi di sebalik kata-kata tak mahu perkauman itu ada unsur perkauman dalam kata-kata dan dasar yang dipelopori," katanya lagi.

Belau mengulas kenyataan Zairil pada hari Sabtu lalu yang membangkitkan bahawa BN bertanggungjawab ke atas nasib yang menimpa orang Melayu di Pulau Pinang.

Kenyataan itu timbul bagi menjawab dakwaan Shabery terdahulu, bahawa orang Melayu kini berasa tidak dialu-alukan di sebuah negeri yang dipimpin sebuah parti pembangkang.

Walau tidak menyebut nama parti tertentu, kenyataan menteri itu membayangkan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP.

Lihat Komen
ADS