Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengerusi gabungan 11 persatuan artis dan industri kreatif, Switch Off '14, Jurey Latiff Rosli berkata, pihaknya meminta kerajaan mewujudkan Akta Industri Kandungan Kreatif supaya industri kreatif akan lebih terbela.
 
Berbeza dengan Akta Finas yang sedia ada, beliau berkata, akta baru itu akan merangkumi semua penghasilan karya tidak kira sama ada dalam bentuk digital, filem, televisyen atau internet. 
 
"Kita ada Akta Finas. Tapi itu ditubuhkan pada tahun 80-an untuk filem sahaja. Sekarang ini, kalau ada akta kreatif, ia akan merangkumi kesemua penghasilan karya sama ada karya dalam bentuk digital, filem, televisyen, internet atau mana-mana karya kreatif yang selama ini tidak dibela oleh akta (Akta Finas) itu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini. 
 
Akta Finas 1981 bertujuan untuk membangun, memelihara dan mengembangkan industri perfileman di Malaysia.
 
Selain itu, pengarah filem dan drama itu turut memberikan contoh tentang  isu yang kini kurang mendapat pembelaan di dalam industri kreatif. 
 
Katanya, sehingga hari ini tiada badan khas yang mengawal selia slot rancangan dan siaran di televisyen secara khusus.
 
Menurutnya, disebabkan tiada badan khas, kadar harga pembelian kandungan televisyen mendapat bayaran yang berbeza mengikut stesen telvisyen. 
 
"Contohnya, sampai hari ini tak ada badan yang kawal selia industri televisyen secara khusus. Contohnya kadar harga pembelian kandungan televisyen, industri yang sama terlibat, orang yang sama, tetapi bayaran lain-lain.
 
"Dengan adanya akta ini, ia dapat kawal selia keseluruhan industri termasuk kandungan kreatif.
 
"Ekosistem industri juga akan lebih baik kalau ada akta dan peruntukan undang-undang yang boleh dipatuhi oleh semua stesen televisyen dan orang industri. Semua perkara akan terpelihara bila ada undang-undang," katanya lagi.
 
Malah, pengarah filem Libas ini juga berkata, kewujudan akta tersebut turut meliputi 10 tuntutan lain yang dibuat oleh gabungan Switch Off. 
 
Sebelum ini, gabungan Switch Off mengadakan kempen menutup televisyen selama tiga jam pada 11 November lalu yang antaranya bertujuan menuntut isu kadar bayaran isi kandungan televisyen tempatan. 
 
Mereka turut menuntut hak harta intelek yang lebih munasabah, mengagihkan slot televisyen dengan lebih adil dengan penekanan kepada 70 peratus kandungan tempatan serta penguatkuasaan polisi buatan Malaysia dan Paducitra.
 
Sementara itu, Jurey berkata, pihaknya kini juga sedang mengusahakan satu dialog terbuka bersama stesen televisyen swasta berhubung isu-isu yang dibangkitkan oleh gabungannya. 
 
"Kita sedang usahakan supaya satu dialog terbuka bersama setsen televisyen swasta diadakan. Maklumat lanjut nanti kita akan berikan," katanya. 

Lihat Komen
ADS