Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyindir MP DAP yang menurutnya keliru dengan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang mencadangkan agar kerajaan mengutamakan sambutan “Hari Kebangsaan” pada 16 September setiap tahun berbanding sambutan ”Hari Merdeka”.

Shabery ( kanan ) berkata, beliau berpendapat bahawa parti DAP juga keliru mengenai dua hari kebesaran itu, sepertimana Lim.

"Pertamanya saya perlu betulkan Yang Berhormat tak faham apa dia sambutan Hari Merdeka dan Hari Kebangsaan. Kita ada sambutan Hari Kemerdekaan dan kita ada sambutan Hari Malaysia pada 16 September.

"Jadi sehingga sekarang ada Yang Berhormat masih keliru mana Hari Merdeka mana Hari Malaysia. Ini menggambarkan saya rasa pandangan dan sikap ahli-ahli dari parti Yang Berhormat," kata Shabery.

Speaker tegur jawapan, soalan sinis

Sebelum itu, Lim secara sinis turut bertanya jika sambutan Hari Merdeka akan menelan belanja yang lebih kecil pada tahun hadapan ekoran pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menjawab soalan itu, Shabery berkata sambutan pada tahun ini menelan belanja RM17 juta sahaja berbanding tahun lepas sebanyak RM20 juta.

Lim ( kiri ) kemudian bangkit semula dan memotong ucapan Shabery sambil menjelaskan bahawa penurunan itu adalah kerana negara berkabung dengan tragedi MH370.

Speaker Dewan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kemudian menegur Lim dan Shabery yang bertanya dan menjawab soalan secara sinis.

"Saya boleh hentikan menteri kerana jawapan sinisnya namun saya tidak berbuat demikian kerana soalannya juga sinis.

"Tolong jangan tanya soalan-soalan sinis selepas ini," katanya.

Lihat Komen
ADS