Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata pihaknya memerlukan sedikit masa sebelum tapak projek insinerator kontroversi yang dibina bawah kementeriannya dibuka untuk lawatan.

Katanya, buat masa sekarang usaha sedang dijalankan untuk memperbaiki tahap operasi empat insinerator tersebut, yang didapati beroperasi “dengan tidak mengikut spesifikasi” selepas dibina dengan kos RM200 juta.

"Kalau dalam keadaan sekarang ini proses pembaikan masih berlaku, lawatan itu tidak akan memberi makna dan hanya memberikan spekulasi yang lebih kepada perkara ini," katanya.

"Saya ingin tekankan projek ini tidak gagal, yang gagal adalah pembinaannya," kata Abdul Rahman lagi ketika menjawab satu soalan oleh Ong Kian Ming (DAP-Serdang) di Dewan Rakyat.

Tegasnya, teknologi yang digunakan dalam insinerator itu – yang mendapat teguran Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara – juga tidak mendatangkan sebarang masalah.

"Teknologi yang dipakai dalam mini insinerator di pulau tersebut adalah teknologi yang telah wujud sejak sekian lama, berpuluh-puluh tahun.

"Insinerator adalah teknologi yang boleh didapati di seluruh dunia.Yang menjadi masalahnya adalah pembinaan insinerator – bangunan tersebut – proses pembinaan dan pengoperasian.

"Ini yang saya sedang usahakan untuk selesaikan,” katanya lagi di Dewan Rakyat.

Ong meminta Abdul Rahman menyatakan kesediaan untuk membuka empat loji terbabit – di Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Tioman dan Cameron Highlands bagi lawatan pihak yang berminat.

Beliau pada minggu lalu turut mempersoalkan tindakan kementerian itu menganugerahkan kontrak untuk memperbaiki dan mengurus insinerator di Pulau Pangkor, Perak kepada pihak yang tidak layak.

Menurut Ong, kontraktor itu XCN Technologies Sdn Bhd dikenal pasti sebagai tidak layak dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini.

Katanya, laporan PAC menyebut bahawa syarikat sama bertanggungjawab ke atas kegagalan membina dan menyelenggara empat insinerator itu.

Lihat Komen
ADS