Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Syarikat daftar awal GST dapat eBaucer RM1,000

Perniagaan digesa mendaftar untuk cukai barang dan perkhidmatan (CBP) sebelum perolehan jualan tahunan mereka melepasi RM500,000 pada masa depan.

Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Kementerian Kewangan, Datuk Mat Noor Nawi, menasihatkan syarikat terbabit mendaftar secara sukarela dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk pelaksanaan CBP.

"Lebih baik untuk mereka membuat persediaan sekarang kerana mereka perlu mendaftar untuk CBP apabila perolehan tahunan mereka meningkat kepada RM500,000 atau lebih.

"Syarikat ini akan menghadapi situasi di mana mereka perlu mematuhi prosedur CBP sepertimana perniagaan lain yang sudah pun mendaftar untuk CBP," kata Mat Noor kepada pemberita di Hari Terbuka CBP 2014 Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya Malaysia-Credit Guarantee Corporation di Petaling Jaya, hari ini.

Syarikat dengan perolehan tahunan melebihi RM500,000 diwajibkan mendaftar untuk CBP.

Menurutnya, Jabatan Kastam akan menganjurkan program pendidikan mengenai CBP. Program itu bertujuan meningkatkan tahap persefahaman di kalangan perniagaan.

Mat Noor berkata, syarikat yang mendaftar awal untuk CBP akan diberikan subsidi eBaucer RM1,000 untuk membeli perisian daripada 113 pembekal yang diperakui Jabatan Kastam.

Setakat ini, Jabatan Kastam menerima 32,961 permohonan untuk eBaucer dan 26,895 daripadanya telah diluluskan.

Hari Terbuka CBP 2014 itu dianjurkan Jabatan Kastam dan Kementerian Kewangan, termasuk beberapa siri jelajah ke 14 lokasi di negara ini untuk memberi penerangan mengenai CBP.

- Bernama

Lihat Komen
ADS