Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pembinaan projek insinerator memproses sisa kepada tenaga di Taman Beringin, Kepong, di Kuala Lumpur, dijangka bermula awal tahun 2016, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata proses bidaan sedang dijalankan dan pembida yang berjaya akan dilantik pada April depan selepas mendapat perakuan dari Jemaah Menteri.

Projek tersebut telah dibuat mengikut tender terbuka antarabangsa iaitu melalui proses pra kelayakan senarai soal selidik (PQQ) yang dibuka pada 27 Jan dan ditutup 28 April ini, katanya.

Beliau memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan dibangkitkan oleh Ong Kian Ming (DAP-Serdang) dan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) berkenaan status terkini projek tersebut dalam sesi soal jawab.

Abdul Rahman ( kanan ) berkata nama syarikat yang berjaya ke peringkat 'Request For Proposal (RfP)' serta dokumen yang dikemukakan mereka tidak boleh dijadikan bahan umum memandangkan proses pembidaan masih berjalan.

Katanya, sebanyak 33 pembida telah mengemukakan dokumen PQQ dan empat daripadanya telah dipilih oleh Jawatankuasa Awam-Swasta (JKAS) untuk ke peringkat kedua iaitu RfP.

"Surat tawaran kepada empat pembida yang berjaya ke peringkat RfP telah dikemukakan pada 8 Ogos lepas," katanya dan menambah, tempoh untuk empat syarikat ini mengemukakan dokumen RfP telah bermula sejak 11 Ogos lepas dan akan berakhir pada 22 Dis ini.

Abdul Rahman berkata empat pembida berkenaan akan dinilai oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal dan Jawatankuasa Penilaian Kewangan sebelum diputuskan di peringkat JKAS untuk memilih dua pembida ke peringkat terakhir iaitu peringkat Best and Final Offer (BaFO).

Menyentuh mengenai Kajian Terperinci Impak kepada Alam Sekitar (DEIA) projek tersebut, Abdul Rahman berkata kementerian itu telah melantik perunding pada 24 Sept lepas dan kajian dijangka akan siap pada Jun tahun depan.

Jabatan Alam Sekitar dijangka membuat keputusan penilaian DEIA projek tersebut pada September 2015, tambahnya.

"Hasil daripada kajian DEIA ini juga akan menetapkan syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh syarikat konsesi bagi memastikan alam sekeliling dan penduduk terlibat tidak terjejas sewaktu pengoperasian loji," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS