Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

MP PKR, Rafizi Ramli mengumumkan bahawa parti itu akan mendapatkan bantuan kerajaan asing bagi menjejak dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Naib presiden PKR itu mendakwa, ia bagi menjejak pergerakan dana berjumlah RM7 bilion yang disimpan di bank luar pesisir Kepulauan Cayman.

Beliau mendakwa dana terseebut sudahpun dipindahkan ke Singapura, Hong Kong dan juga Switzerland.

Menurutnya, langkah itu akan diambil memandangkan kerajaan kini masih mengunci mulut tentang perjalanan kewangan 1MDB apabila soalan mengenai perkara itu diajukan di Parlimen.

Rafizi ( kanan ) berkata, beliau kesal kerana kerajaan terus mengulangi jawapan, bahawa butiran kewangan 1MDB adalah hak milik 1MDB, setiap kali beliau meminta penjelasan.

Untuk langkah pertama, Rafizi berkata beliau akan membawa perkara tersebut kepada perhatian Bank Negara Malaysia terlebih dahulu.

"Kalau kita berterusan dapat jawapan "copy and paste" begini, kita akan kejar ke mana perginya wang ini.

"Peraturan anti pengubahan wang yang ada di negara-negara ini hampir sama semuanya," kata Rafizi pada sidang media di bangunan Parlimen.

Ahmad Maslan: Jangan asyik sinis

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan ( bawah ) dalam sidang media berasingan di lobi Parlimen menggesa Pakatan Rakyat agar turut menyerlahkan cerita-cerita baik tentang 1MDB.

Menurutnya, 1MDB sudah membelanjakan sebanyak RM382.3 juta untuk projek tanggungjawab sosial korporat daripada keuntungannya bermula dari tahun 2010.

Menurutnya lagi, syarikat itu juga mencatatkan keuntungan dari tahun 2010 sehingga tahun 2013 dan hanya mencatatkan kerugian pada tahun 2014.

"Janganlah asyik bercakap tentang perkara-perkara yang sinis tentang 1MDB sahaja," kata Ahmad.

Lihat Komen
ADS