Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menjelang Perhimpunan Agung Umno minggu depan, parti itu memberi peringatan kepada semua perwakilannya supaya tidak menyentuh isu-isu sensitif berkaitan kaum dan agama.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, masalah peribadi antara anggota Umno juga dilarang untuk dibahaskan dalam perhimpunan itu nanti.

"Kita tak hendak menyentuh masalah peribadi, masalah sensitif antara kaum, (masalah) sensitif antara ahli Umno.

"Yang lain mereka (perwakilan) boleh buat apa mereka nak buat, seperti garis panduan yang diberi oleh (Datuk Seri) Hishamuddin (Hussein) selaku naib presiden yang dipertanggungjawabkan menjaga usul," katanya.

Tengku Adnan berkata demikian pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

'Kaum lain kawan kita'

Selain itu, Tengku Adnan atau dikenali sebagai Ku Nan menasihatkan, walaupun keputusan pilihan raya lalu tidak berpihak kepada BN, semua perwakilan dinasihati menganggap kaum lain sebagai “kawan”.

Malah, katanya, walaupun Umno dikenali sebagai parti yang memperjuangkan Melayu, tetapi bangsa lain tetap menganggap Umno parti itu dapat menjamin keamanan dan kemajuan negara.

"Parti ini merupakan parti berteraskan kepada perjuangan Melayu. Teras kita berjuang atas dasar kepentingan Melayu, agama, negara. Selain itu kita dididik oleh datuk nenek moyang bahawa kita mesti bersama kaum lain di Malaysia. Itu kita akan tekankan.

"Ahli Umno mesti faham, kita tahu kegelisahan orang Melayu oleh kerana keputusan pilihan raya yang lepas di mana mereka lihat bangsa lain tak sokong BN. Dan tak sokong BN dia anggap tak sokong Umno.

"Jadi kita nak tekankan bahawa jangan gelisahlah sebab kita percaya bahawa kaum-kaum lain kawan-kawan kita. Cina, India, Kadazan, Iban. Dan mereka semua merupakan rakyat Malaysia," katanya lagi.

Perhimpunan Agung Umno kali ke-68 akan diadakan pada 25 hingga 29 November depan di PWTC.

Lihat Komen
ADS