Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anggota RELA ditahan kes tembak cuba curi lembu
Diterbitkan:  Nov 21, 2014 9:00 AM
Dikemaskini: 4:25 AM

Polis menahan seorang anggota RELA kerana disyaki melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki yang dipercayai cuba mencuri lembu di Gua Musang, kelmarin.
 
Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata lelaki berusia 48 tahun itu kini direman empat hari untuk siasatan lanjut.
 
"Saya nasihat kepada semua untuk berhati-hati menggunakan senjata api kerana ia melibatkan nyawa, memang kita diberi hak untuk mempertahankan diri," katanya kepada pemberita ketika melawat mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Tiong di Kota Bharu semalam.
 
Kelmarin, seorang lelaki dipercayai cuba mencuri lembu di sebuah ladang sawit di Sungai Terah, Gua Musang maut dipercayai ditembak pemilik lembu berkenaan yang juga anggota Rela di ladang itu.
 
Dalam kejadian pada jam 6.05 pagi itu, pemilik lembu terbabit, mengejar dua lelaki yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero dalam ladang sawit berkenaan.
 
Selepas kenderaan Pajero itu terbabas, seorang suspek berusia 33 tahun dipercayai melibas parang menyebabkan pemilik lembu itu melepaskan tembakan dan suspek berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian dengan kesan tembakan di badan.
 
Mazlan berkata pihaknya sedang memburu seorang lagi rakan suspek berhubung kes berkenaan.
 
"Suspek yang meninggal dunia itu mempunyai tiga rekod jenayah narkotik," katanya.
 
Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.
 
Kes turut disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
 
- Bernama

Lihat Komen
ADS