Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pro-Aspirasi bangkit semula di UKM
Diterbitkan:  Nov 21, 2014 4:17 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

Kumpulan Pro-Aspirasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kembali bangkit dalam pilihan raya kampus tahun ini, dengan pertambahan bilangan kerusi. 
    
Dalam pilihan raya kampus UKM semalam, Pro-Aspirasi menang 14 kerusi berbanding hanya empat kerusi pada tahun lepas, manakala Pro-Mahasiswa atau dikenali sebagai Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) memenangi 15 kerusi dan satu kerusi dimenangi calon Bebas. 
 
Presiden Aspirasi UKM, Faridul Amri Ahmad berkata sasaran Aspirasi menambah kerusi untuk sesi 2014/2015 tercapai, dan bilangan kerusi yang diperoleh pada tahun ini sangat mengejutkan.
 
"Ini menunjukkan mahasiswa UKM sudah celik dan mampu berfikir mengenai masa depan mereka. Walaupun kami tidak berjaya merampas Persatuan Mahasiswa UKM namun kami tetap akan memperjuangkan hak-hak mahasiswa seiring dengan visi universiti sekali gus mendukung aspirasi kerajaan," katanya kepada Bernama hari ini.
 
Walaupun GMUKM mengekalkan kemenangan namun mereka mengalami kemerosotan bilangan kerusi berikutan hanya menang 15 kerusi berbanding 22 kerusi tahun lepas.
 
Menurut laman rasmi UKM, peratus pelajar yang keluar mengundi dalam pilihan raya kampus kali ini adalah sebanyak 75.24 peratus.
 
Setakat ini, kumpulan Pro-Aspirasi mengekalkan kemenangan di lima institusi pengajian tinggi awam (IPTA) iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Sarawak (UMS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
 
- Bernama
 

Lihat Komen
ADS