Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suri rumah maut dilanggar kereta jiran
Diterbitkan:  Nov 21, 2014 5:37 PM
Dikemaskini: 9:40 AM

Gara-gara bertengkar disebabkan sampah, seorang suri rumah maut dilanggar di Flat Desa Intan di Lebuhraya Thein Teik, Bandar Baru, di George Town tengah malam tadi.
 
Kejadian berlaku pada pukul 12.55 tengah malam apabila Lee Seok Pheng, 47, dirempuh dengan kereta dari hadapan. Dia meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang.
 
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata Lee dan suaminya yang tinggal di tingkat bawah flat itu dikatakan bertengkar dengan seorang lelaki berusia 53 tahun yang tinggal di tingkat tiga kerana lelaki itu didakwa membuang sampah berhampiran rumah mereka. 
 
"Suspek yang berada di dalam keretanya cuba melanggar suami mangsa tetapi dia dapat mengelak dan pasangan itu, yang tidak berpuas hati, kemudian mengetuk bahagian belakang kereta lelaki berkenaan," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.
 
Beliau berkata lelaki terbabit kemudian mengundurkan keretanya untuk menggertak mangsa dan suaminya menyebabkan mereka berdua terdorong ke belakang, lantas Lee menuju ke pintu pemandu kereta itu dan memarahinya.
 
"Suspek mengundurkan kenderaannya sebelum memandu ke arah wanita itu dan terus melanggarnya," katanya.
 
Mior Faridalathrash berkata lelaki itu keluar dari kereta dan cuba melarikan diri tetapi dapat diberkas oleh beberapa orang awam yang melihat kejadian itu.
 
"Suspek turut dipukul dan cedera di kepala serta tangan menyebabkan dia dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Pulau Pinang," katanya.
 
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek yang bekerja sebagai mekanik tidak mempunyai rekod jenayah lampau selain bebas pengaruh alkohol atau dadah.
 
- Bernama

Lihat Komen
ADS