Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
M'sia tak percaya Jokowi arah karam kapal
Diterbitkan:  Nov 21, 2014 6:49 PM
Dikemaskini: 10:54 AM

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman berkata beliau tidak percaya Presiden Indonesia, Joko Widodo sanggup mengarahkan pasukan keselamatannya mengaramkan kapal nelayan asing yang memasuki perairan republik itu.

Katanya, beliau akan menyiasat dakwaan yang dilaporkan agensi berita antarabangsa, dan disiarkan akhbar tempatan hari ini.

"Saya tidak percaya bahawa ini adalah suatu kenyataan yang telah dikeluarkan oleh seorang presiden dan (Malaysia) akan menyiasat dakwaan ini," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Anifah lagi, perjanjian ditandatangani Malaysia dan Indonesia pada 2012 menyatakan persefahaman bahawa penguatkuasa negara masing-masing hanya akan mengusir nelayan yang menceroboh perairan jirannya.

Tegasnya, ia disahkan dalam “MOU Berhubung Garis Panduan Am Mengenai Layanan Ke Atas Nelayan Oleh Agensi Penguatkuasaaan Malaysia dan Republik Indonesia”.

Menteri itu juga berkata, Malaysia masih belum menerima sebarang makluman rasmi dari pihak konsular Indonesia tentang laporan mengenai penahanan 200 nelayan Malaysia pada hari Rabu lalu.

"Sehingga kini, Kementerian Luar Negeri melalui perwakilan Malaysia di Indonesia masih belum menerima sebarang notis konsular secara rasmi dari pihak Indonesia berhubung penangkapan tersebut.

"Kedutaan besar Malaysia telah menghubungi Kementerian Luar Negeri Indonesia untuk mendapatkan pengesahan terutamanya mengenai maklumat pengenalan diri dan lokasi penahanan nelayan Malaysia tersebut," katanya lagi.

Menurutnya, pihak Wisma Putra akan terus memantau perkembangan semasa berkenaan berita itu.

Lihat Komen
ADS