Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiga maut kes letupan di lombong arang batu
Diterbitkan:  Nov 22, 2014 2:00 PM
Dikemaskini: 8:07 AM

Tiga yang maut dalam kejadian letupan di lombong arang batu di Selantik, Pantu dekat Sri Aman hari ini, kira-kira 130km dari Kuching, dikenal pasti sebagai warganegara asing manakala jumlah yang cedera  meningkat kepada 26 orang berbanding 11 orang sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Mohamad, berkata tiga yang maut dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu dikenal pasti sebagai warganegara Indonesia, Korea Utara dan Myanmar.

"Bagaimanapun, butiran lanjut berkenaan identiti mangsa-mangsa yang mati ini masih belum diperolehi sepenuhnya," katanya semasa dihubungi Bernama hari ini.

Menurutnya siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada percikan api kipas angin yang rosak dan seterusnya menyebabkan kebakaran gas dan letupan di dalam sebuah terowong lombong itu yang sedalam kira-kira 69 meter.

"Semasa kejadian itu, 29 orang pekerja yang berada di dalam terowong itu telah bergegas keluar untuk menyelamatkan diri di samping membantu rakan sekerja mereka yang mengalami kecederaan serius," katanya.

Mat Jusoh berkata mayat ketiga-tiga mangsa yang terkorban dalam kejadian itu telah dibawa ke Hospital Sri Aman untuk dibedah siasat sementara 16 orang daripada mereka yang tercedera turut dirawat di hospital sama.

Mangsa lain yang cedera telah dirujuk ke Klinik Desa Pantu dan Hospital Daerah Serian, kira-kira 60km dari Kuching, katanya.

Menurutnya lombong arang batu berkenaan yang terletak tiga kilometer dari jalan utama Sri Aman-Kuching telah beroperasi sejak lapan tahun lepas.

"Kini terdapat 119 orang pekerja warga China, Myanmar, Indonesia, Bangladesh dan Korea Utara yang bekerja di lombong berkenaan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS