Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR: GST kuatkuasa, k'jaan hapus subsidi
Diterbitkan:  Nov 22, 2014 3:17 PM
Dikemaskini: 7:43 AM

Sayap pemuda PKR, AMK menyifatkan tindakan kerajaan menghapuskan subsidi bahan api sebagai langkah tidak bertanggungjawab memandangkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan tahun depan.

Ketua pergerakan itu, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, rakyat perlu mempersoalkan pertimbangan kerajaan sehingga sanggup menghapuskan subsidi berkenaan.

“Banyak persoalan lain berkaitan perbelanjaan besar kerajaan tidak dijelaskan dengan baik, memangsakan rakyat menunjukkan lemahnya komitmen dan keutamaan kerajaan bagi membela rakyat.

“Penghapusan subsidi ini diperkenalkan ketika isu rasuah dan ketirisan terus berleluasa, malah timbul persoalan demi persoalan mengenai 1MDB (1Malaysia Development Bhd) yang menambahkan beban hutang yang ditanggung oleh kerajaan.

Beliau mengulas pengumuman kerajaan semalam bahawa harga petrol RON95 dan diesel ditetapkan mengikut mengikut kaedah pengapungan terkawal seperti petrol RON97.

 

Langkah itu, yang berkuatkuasa 1 Disember, diumumkan susulan kejatuhan harga pasaran minyak dunia yang menyaksikan harga pasaran RON95 jatuh kepada RM2.27 seliter, yang lebih rendah daripada harga kawalan kerajaan sebanyak RM2.30 seliter.

Kerajaan menjangkakan bahawa harga RON95 akan terus dikurangkan melalui Mekanisme Harga Automatik (APM) sekiranya trend kejatuhan harga di pasaran dunia itu berterusan.

Nik Nazmi yang juga anggota exco Selangor seterusnya menggesa kerajaan mendedahkan mekanisme APM dan mendedahkan bagaimana kerajaan membelanjakan wang yang dibayar kepada kerajaan oleh Petronas sejak 1974.

Katanya, ia memandangkan perbelanjaan kerajaan terus bertambah walau kerajaan memberi alasan bahawa pengurangan subsidi minyak sebelum ini bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Kerajaan mengumumkan sejumlah RM264 dalam belanjawan 2014, tidak termasuk belanjawan tambahan, dan RM274 bilion dalam bajet 2015.

Lihat Komen
ADS