Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AIM: Kritikan Ajai tak adil pada artis
Diterbitkan:  Nov 23, 2014 2:45 PM
Dikemaskini: 6:53 AM

Anugerah Industri Muzik (AIM) hari ini mempertahankan penganjuran anugerah muziknya yang dikritik penggubah lagi terkenal Ajai sebelum ini.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM Rosmin Hashim berkata mereka melantik panel juri berwibawa, syarikat pengurusan bebas untuk menyelia penjurian dan juruaudit terkemuka untuk mengaudit pemarkahan, lapor Pancaindera .

“Proses penjurian AIM dan keputusan panel juri tidak sepatutnya dipersoalkan. Ajai mungkin ada sebab-sebabnya yang tersendiri berkata demikian,” kata Rosmin dalam wawancara disiarkan sisipan Mingguan Malaysia itu.

Sambil berkata Ajai berhak memberi pandangan peribadi, Rosmin bagaimanapun menyifatkan kritikan itu sebagai tidak adil kepada artis yang dicalonkan untuk lima terbaik anugerah itu tahun ini.

Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas minggu lalu dilapor memutuskan 'memboikot' daripada mendaftar masuk pencalonan untuk sebarang kategori dalam AIM ekoran hilang kepercayaan.

Beliau antaranya tidak puas hati dengan keberkesanan penganjurannya pada masa ini dan kesilapan pemberian anugerah yang pernah menyaksikan pencalonan penyanyi terkenal Yuna ditarik balik.

Rosmin juga menolak tanggapan wujudnya kepincangan sepanjang proses penjurian AIM dan menegaskan ramai yang masih menyokong AIM.

“Persepsi itu tidak betul sebab itu saya ulas panjang lebar agar ia dapat mengubah persepsi Ajai dan pemain industri lain yang mungkin berfikiran begitu,” katanya.

Lihat Komen
ADS