Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Satu gabungan 58 NGO dikenali sebagai Penggerak Perpaduan Nasional (MPN) mengisytiharkan penduduk peribumi Malaysia sebagai bangsa teras Malaysia.

Perkara itu terkandung dalam dokumen bertajuk “Memorandum Perpaduan Nasional: Perpaduan rakyat Malaysia teras keamanan dan kemakmuran negara” yang dibentangkan Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali.

Ia dibentangkan beliau pada Konvensyen Perpaduan Nasional di Kuala Lumpur hari ini anjuran MPN hari ini.

"Saya percaya saudara-saudara bersetuju bahawasanya bangsa teras Malaysia ialah peribumi Malaysia kerana ia mewakili 67 peratus masyarakat Malaysia," kata Ibrahim dalam ucapan pembentangan usulnya.

"Matlamat dasar perpaduan nasional yang diterapkan ke dalam seluruh dasar mengenai pembentukan negara, pembinaan negara bangsa, pembangunan negara, serta keselamatan dan kelangsungan nasional, hendaklah mengiktiraf hakikat bahawa peribumi adalah bangsa teras di Malaysia.

"Peribumi adalah penduduk majoriti Malaysia, peribumi adalah faktor yang mendorong kelahiran kontrak sosial di Malaysia, peribumi adalah faktor yang mendorong amalan politik serta demokrasi perkongsian kuasa di Malaysia, dan peribumi adalah faktor yang mendorong keseimbangan pelbagai peruntukan mengenai rakyat berbilang keturunan di Malaysia yang majmuk, dalam Perlembagaan Persekutuan," draf memorandum itu dipetik.

Bagaimanapun, tuntutan secara spesifik tidak dinyatakan dalam memorandum itu.

Bercakap pada sidang media kemudian, Ibrahim berkata, beliau akan memperbaiki draf memorandum itu sebelum diserahkan kepada perdana menteri merangkap presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak pada 27 November ini di perhimpunan agung Umno.

Memorandum yang sama akan turut diserah kepada Yang di-Pertuan Agong, kata Ibrahim.

Lihat Komen
ADS