Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Saya pernah menyentuh mengenai kadar penggunaan yang sangat rendah oleh murid sekolah dalam projek 1BestariNet bernilai RM4.1 bilion, khususnya berkaitan komponen Virtual Learning Environment (VLE).

Berdasarkan siri ketiga Laporan Ketua Audit Negara 2013, kurang daripada satu peratus daripada murid menggunakan sistem VLE, meskipun infrastruktur 1BestariNet sudah dipasang di 8,807 buah sekolah.

Penggunaan alat e-pembelajaran yang rendah ini adalah disebabkan pelbagai faktor, termasuk kurangnya infrastruktur teknologi dan sokongan peralatan seperti komputer riba dan projektor, masalah teknikal seperti akses internet yang lembap dan liputan yang tidak mencukupi, serta sokongan pihak berkepentingan yang tidak konsisten daripada pengetua, guru-guru dan ibu bapa.

Antara semua faktor, saya berpendapat bahawa yang paling penting sekali merupakan kualiti guru. Di United Kingdom, badan rasmi pemantauan sekolah iaitu Office for Standards in Education, Children’s Services and Skills (Ofsted) telah membuat kesimpulan yang sama dalam satu laporan 2009 bertajuk “Virtual learning environments: an evaluation of their development in a sample of educational settings.”

Dalam laporan itu, didapati bahawa sekolah hanya berjaya menunjukkan kemajuan dalam penggunaan VLE apabila guru dapat menggunakan alat e-pembelajaran itu dengan efektif dan penuh motivasi.

Sebaliknya, apabila guru tidak dapat memaksimumkan potensi sistem ini, murid tidak mendapat sebarang faedah. Dalam erti kata lain, kejayaan atau kegagalan sistem VLE adalah amat bergantung kepada keyakinan dan kreativiti guru dalam menghasilkan bahan untuk murid mereka.

Peranan guru adalah penting bukan sahaja dalam penggunaan VLE, tetapi sebenarnya dalam mana-mana gagasan pendidikan atau pedagogi.

Sebagai contoh, ahli ekonomi Stanford, Dr Eric Hanushek, menganggarkan bahawa murid yang mempunyai guru yang tidak cekap hanya akan mendapat nilai pembelajaran yang bersamaan dengan setengah tahun pengajian sahaja, manakala murid yang diajar guru yang sangat cekap akan meresap nilai pembelajaran yang bersamaan dengan setahun setengah pengajian.

Ini diterjemahkan kepada perbezaan nilai pembelajaran sebanyak satu tahun pengajian, hanya atas dasar kompetensi guru.

Sekiranya guru sangat kritikal, mengapa peruntukan pembangunan mereka dikurangkan?

Peruntukan dikurangkan

Malangnya, Kementerian Pendidikan telah gagal untuk memahami perkara penting ini. Menurut Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2015, jumlah peruntukan untuk “pembangunan profesional” guru telah dikurangkan daripada RM1.54 bilion tahun ini kepada RM961 juta pada tahun 2015. Ini bersamaan dengan pengurangan besar kira-kira RM600 juta.

Peruntukan untuk “pembangunan profesional” ini dibahagikan kepada tiga kategori, di mana peruntukan ketiga-tiga juga dipotong. Bagi “latihan pra-perkhidmatan,” peruntukan telah dikurangkan daripada RM948 juta pada tahun 2014 kepada RM851 juta pada tahun hadapan.

Sementara itu, “latihan kepimpinan” dipotong daripada RM181 juta kepada RM62 juta. Pun begitu, pengurangan yang paling drastik adalah dalam “latihan dalam perkhidmatan,” yang hanya mendapat RM48 juta pada tahun hadapan berbanding RM410 juta sebelumnya.

Pengurangan drastik peruntukan pembangunan guru adalah mengejutkan, khususnya memandangkan peruntukan Kementerian Pendidikan secara keseluruhan melihatkan peningkatan daripada RM54.6 bilion kepada RM56.6 bilion.

Namun demikian, saya memerhatikan bahawa terdapat butiran perbelanjaan baru dalam belanjawan yang dipanggil “Transformasi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan,” yang diperuntukkan RM250 juta bagi tahun 2015.

Ia tidak jelas sama ada program ini melibatkan pembangunan guru, tetapi jika benar sekali pun, ia hanya akan membawa jumlah peruntukan untuk pembangunan profesional kepada RM1.21 bilion. Jumlah ini masih kurang sebanyak RM350 juta berbanding dengan RM1.54 bilion yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2014.

Berikutan ini, soalan seterusnya adalah: sekiranya peruntukan untuk pembangunan guru telah dikurangkan, ke manakah wang itu diperuntukkan?

Menurut anggaran perbelanjaan, kelihatannya seperti dana tambahan sebanyak RM288 juta telah diperuntukkan kepada “pengukuhan operasi pendidikan,” kategori yang menerima jumlah peruntukan sebanyak RM897 juta berbanding RM609 juta dahulu. Daripada jumlah ini, RM615 juta diperuntukkan untuk “teknologi maklumat,” iaitu peningkatan besar sebanyak RM200 juta.

Kementerian perlu menjelaskan perkara ini dengan serta-merta. Jika benar Kerajaan bercadang untuk mengorbankan pembangunan guru demi membolehkan lebih banyak pelaburan dalam teknologi maklumat, maka mereka jelas hilang arah.

Sebagaimana contoh di UK telah membuktikan, hasil pembelajaran tidak akan dipertingkatkan dengan teknologi yang terbaik sekiranya guru tidak bermotivasi dan berkeupayaan.


ZAIRIL KHIR JOHARI adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera dan penolong setiausaha DAP kebangsaan.

Lihat Komen
ADS