Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penguasaan BM pelajar bukan Melayu dibincang
Diterbitkan:  Nov 24, 2014 3:26 PM
Dikemaskini: 10:49 AM

Isu kelemahan penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar bukan Melayu antara usul yang akan dibahaskan Pergerakan Wanita Umno pada perhimpunan agung sayap Umno itu, Rabu ini. 
 
Setiausaha Kerja Wanita Noorhaiza Mariena Mat Ramli berkata isu itu perlu ditekankan memandangkan bahasa Melayu merupakan bahasa pengantar utama di Malaysia dan melambangkan identiti jati diri rakyatnya. 
 
"Bahasa Melayu harus diperjuangkan dan diguna pakai dalam sistem pendidikan.
 
"Rakyat berbilang bangsa terutama pelajar perlu menguasai bahasa Melayu, kerana itulah isu itu akan turut dibahaskan dalam perhimpunan nanti selain beberapa isu kurikulum pendidikan lain," katanya kepada Bernama hari ini.
 
Perhimpunan Agung tiga sayap parti - Wanita, Pemuda dan Puteri - akan berlangsung pada Rabu ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
 
Selain itu, Noorhaiza Mariena berkata isu pemansuhan Akta Hasutan turut menjadi isu yang akan dibincangkan pada perhimpunan itu.
 
"Akta Hasutan yang bakal dimansuhkan antara isu 'hangat' dalam kalangan rakyat dan Wanita mahu membahaskan isu itu secara terbuka, ilmiah dan berhemah.
 
"Kita juga tidak melupakan isu sosial dan ekonomi wanita, bagaimana untuk membangunkan dan meningkatkan taraf hidup wanita di negara ini serta beberapa isu agama," katanya.
 
Sementara itu penganalisis politik Dr Chandra Muzaffar berkata usul penguasaan bahasa Melayu yang turut menjadi fokus pergerakan Wanita adalah bertepatan dalam usaha memartabatkan lagi bahasa kebangsaan itu.
 
Jelasnya, penguasaan bahasa Melayu kini dilihat merosot bukan sahaja dalam kalangan masyarakat bukan Melayu, tetapi juga masyarakat Melayu sendiri.
 
"Di kalangan golongan muda misalnya, sebahagian daripada mereka mengabaikan bahasa kebangsaan dan ia termasuk juga daripada pelajar Melayu itu sendiri," katanya.
 
Chandra menarik perhatian, negara seperti China dan Korea turut proaktif menguasai bahasa Inggeris tetapi sering berbangga dan tidak mengabaikan bahasa asal negara mereka.
 
"Dalam kita berusaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara Malaysia harus tidak dilupa. 
 
"Ia bukan sahaja bahasa yang melambangkan identiti, namun juga bahasa komunikasi yang menjadi jambatan untuk mengeratkan hubungan antara pelbagai kaum di negara ini," katanya.
 
Chandra turut berharap golongan yang kurang menguasai bahasa Melayu tidak dikecam sebaliknya dibantu dengan menggalakkan mereka meningkatkan penguasaan bahasa itu. 
 
-  Bernama
 

Lihat Komen
ADS