Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tak patut kecualikan satu kaum saja...'
Diterbitkan:  Nov 24, 2014 6:44 PM
Dikemaskini: 10:49 AM

Kerajaan tidak sepatutnya memberikan pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada satu kaum sahaja kerana ini akan menjejaskan masa depan generasi muda pelbagai kaum di negara ini.
 
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kerajaan tidak sepatutnya mengadaikan masa depan pendidikan generasi muda di negara ini bagi memenuhi kehendak kumpulan pendesak di negara ini.
 
"Itu adalah pemikiran yang sempit. Generasi masa hadapan perlu dilatih dengan mencungkil potensi dan bakat mereka supaya mereka dapat menjadi tiang negara," katanya kepada pemberita selepas melancarkan misi penghantaran bantuan kepada mangsa banjir di Terengganu di Wisma MCA di ibunegara hari ini. 
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan beberapa NGO supaya pengecualian bayaran balik hutang PTPTN hanya diberikan kepada kaum bumiputera sahaja.
 
Liow, yang juga Menteri Pengangkutan, turut berkata pendidikan tidak mengira kaum adalah satu perkara yang perlu dibangunkan oleh kerajaan. 
 
Pada masa ini, peminjam PTPTN yang berjaya menamatkan pengajian mereka dengan kelulusan kelas pertama mendapat pengecualian bayaran balik hutang mereka tanpa mengira kaum.
 
Dalam pada itu, Liow turut menggesa lebih banyak individu dan syarikat tampil  untuk membantu mangsa banjir serta meminta kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan memastikan bekalan air di pusat pemindahaan bersih dan terjaga bagi mengelak penyakit berjangkit.
 
"Kita difahamkan lebih 800 keluarga melibatkan 5,500 penduduk Terengganu terjejas dalam banjir kali ini, dan berharap mereka turut mengambil berat terhadap keselamatan anak-anak kecil ketika banjir," katanya.
 
Sementara itu, Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong, yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata MCA berharap sumbangan itu dapat meringankan sedikit beban kerajaan dalam menyediakan bantuan kepada mangsa banjir di negeri itu.
 
"Kita menyumbang 2,000 paket beras 5kg, seribu karton air mineral 500ml, dan selebihnya adalah dalam bentuk biskuit, susu manis, kopi dan gula untuk keperluan di pusat pemindahan banjir," katanya.
 
NSK Trade City menaja sumbangan barangan bernilai lebih RM40,000 untuk tujuan tersebut.
 
- Bernama

Lihat Komen
ADS