Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Transformasi dalaman Umno bukan suatu perkara baru kerana sejak penubuhannya pada tahun 1946, pelbagai perubahan dan penambahbaikan dilakukan.

    

Hakikatnya kini, desakan transformasi lebih menjurus kepada usaha memberikan lebih banyak ruang dan peluang untuk golongan muda dalam barisan kepimpinan.

    

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri pernah diberikan peluang ketika masih di usia muda dalam kepimpinan Umno dan kerajaan semasa era kepimpinan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

    

Kini agenda membuka ruang yang lebih luas kembali menjadi desakan, malah Najib, selaku Presiden Umno, juga berpendapat golongan muda perlu diberi lebih banyak peluang untuk bersama-sama terlibat dalam kepimpinan parti.

    

Beberapa penganalisis politik melihat Umno, parti tunjang BN ketika ini agak jauh ketinggalan berbanding parti pembangkang dari segi memberi ruang dan peluang kepada golongan muda.

Mereka berpendapat jika gesaan Najib itu tidak disahut oleh kepimpinan di peringkat bahagian dan cawangan, gesaan itu akan kekal menjadi retorik politik semata-mata.

    

Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Profesor Madya Shaharuddin Badaruddin berkata Umno perlu memikirkan strategi bersesuaian dan melaksanakan proses pengkaderan yang lebih menarik dengan segera.

    

"Kalau dikira umur kepimpinan Pakatan pembangkang secara pukul rata sahaja, mereka ada potensi untuk jauh ke depan berbanding Umno.

    

"Sebab itu nasihat pucuk pimpinan perlu diambil serius oleh anggota Umno sendiri supaya lebih banyak peluang diberikan kepada golongan muda. Beri mereka peluang untuk bereksperimentasi dalam politik," tegasnya.

    

Beliau berkata, perlu ada kesungguhan politik daripada semua pihak, baik di peringkat atasan, pemimpin peringkat pertengahan hinggalah ke akar umbi bagi menjayakan agenda ini untuk memastikan kelangsungan Umno pada masa depan.

Shaharuddin berkata golongan itu perlu diberi panduan dan bimbingan untuk memimpin supaya UMNO dilihat sebagai sebuah parti yang inklusif, moden, progresif serta dinamik.

    

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata ruang yang lebih luas perlu diberikan kepada generasi muda untuk berada dalam saf kepimpinannya jika Umno mahu mendapat perhatian daripada belia bandar.

   

"Kalau kita lihat kadar urbanisasi, penghijrahan anak muda dari kawasan luar bandar ke bandar sudah mencecah 60 peratus dan trend ini akan berterusan.

    

"Mereka memerlukan seorang pemimpin atau barisan pemimpin yang memahami mereka dan yang dapat memperjuangkan kehendak mereka," katanya.

    

Anggota Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata apabila beliau menyatakan Umno lebih selesa menjuarai dan menyelesaikan isu di kawasan luar bandar, ia disebabkan sokongan yang diterima daripada orang bandar sangat kurang.

Beliau berkata, Umno harus sedar majoriti sokongan yang mereka terima dari penduduk luar bandar sehingga memberikan 88 kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum lepas lambat laun akan berkurangan kerana faktor migrasi anak muda ke kawasan bandar.

    

Sementara itu, pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata, masih belum ada perubahan yang drastik berhubung kesediaan pemimpin untuk memberi ruang kepada orang muda, walaupun selepas dua pilihan raya umum berlalu.

    

Beliau berkata, rata-rata pemimpin peringkat bawahan lebih selesa mengambil pendekatan mesra dengan pucuk pimpinan berbanding program yang lebih mendekatkan mereka dengan rakyat.

    

"Bercakap mengenai kedudukan orang muda (dalam parti), dan juga agenda menarik minat orang muda, terutama yang masih belum menjadi ahli, nampak gaya agenda percakapan cukup hebat, tapi terjemahan dalam bentuk aplikasi kurang.

    

"Adakah kita perlu menjiwai Umno sebagai wadah perjuangan Melayu yang betul, atau hanya berteraskan kepentingan peribadi semata-mata?," soalnya.

    

Beliau turut mengharapkan agar para perwakilan yang diberi peluang untuk menjadi jurucakap sepanjang berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno 2014, dapat membangkitkan isu ini agar ia dapat difikirkan dan dibincang secara ilmiah demi mencari penyelesaian yang diharapkan.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS