Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Himpunan selamatkan Kpg Warisan di PWTC
Diterbitkan:  Nov 25, 2014 9:24 AM
Dikemaskini: 3:55 AM

Menyedari kepentingan untuk menjamin hak masyarakat kampung yang tertindas, Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) akan menganjurkan Himpunan Selamatkan Kampung Warisan dan penyerahan memorandum kepada Presiden Umno di hadapan PWTC ketika Perhimpunan Agung Umno Jumaat ini.

Presiden GAMIS, Abd Malik Abd Razak berkata perhimpunan itu akan diadakan selepas solat jumaat dan turut disertai masyarakat kampung yang tertindas.

Justeru, katanya, GAMIS mengajak rakyat Malaysia bersama-sama menghadiri himpunan itu, tanpa mengira latar belakang politik dan agama.

"GAMIS juga menyeru mana-mana NGO untuk menyahut seruan ini dan bersama-sama menyatakan sokongan dan bersolidariti dalam mempertahankan hak kampung warisan masyarakat Melayu," kata Abd Malik dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, kampung warisan Melayu merupakan kampung yang dibuka sendiri oleh nenek moyang kaum Melayu.

"...dan sehingga ke hari ini (ia) masih mengekalkan ciri-ciri tradisional kediaman masyarakat melayu walaupun dikelilingi pelbagai arus kemodenan.

"Namun, dengan bermodalkan perkataan pembangunan, kampung-kampung tersebut semakin diancam dengan banyak daripadanya ingin dirobohkan untuk memenuhi keperluan projek jutaan ringgit," tambahnya.

Abdul Malik memberi contoh beberapa kampung yang terbabit iaitu Kampung Banggol Donas (Terengganu); Kampung Chubadak; Kampung Matau, Jengka; dan Kampung Puah Seberang, Sentul.

"Selain kampung yang disebutkan, terdapat kampung warisan lain yang mengalami masalah perobohan oleh pihak berkuasa dan mungkin akan hilang dari peta Malaysia seperti Kampung Baharu, Kampung Bandar Dalam, Kampung Padang Balang, dan Kampung Sungai Mulia yang terletak di sekitar ibu kota," katanya.

Lihat Komen
ADS