Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Pembangkang Selangor Datuk Shamsudin Lias mencadangkan supaya Menteri Besar Azmin Ali tidak mengekalkan jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi Selangor.

Sambil menggelarkan Anwar sebagai 'Ketum', Shamsudin mendakwa jawatan itu tidak perlu dikekalkan memandangkan pelbagai kemelut dan krisis yang berlaku sebelum ini dicetuskan oleh beliau.

'Ketum' adalah singkatan kepada ketua umum yang diperkenalkan oleh kumplan anti-Anwar dalam PKR.

Shamsudin yang juga ADUN Sungai Burong ( kanan ) itu turut mendakwa isu Langkah Kajang dan pemilihan menteri besar yang tercetus sebelum ini berpunca daripada ketua pembangkang itu.

"Walaupun itu kuasa mutlak menteri besar untuk kekalkan jawatan itu, saya harap menteri besar mengambil kira tentang majoriti rakyat yang senyap di Selangor yang tak mahu jawatan penasihat ekonomi Selangor diwujudkan kerana tindak tanduk yang dilakukan hanya menimbulkan krisis dan kemelut.

"Membuat Langkah Kajang yang sia-sia, melantik pula presiden (PKR) untuk bertanding di Kajang, kemudian nak melatih presiden itu sebagai menteri besar.

"Kalaulah (tindakan itu) berjaya hari ini, kita tak nampak menteri besar yang ini duduk di sini. Itu adalah hakikat dan fakta. Sembilan bulan kemelut di Selangor ini.

"Walaupun ini kuasa Dewan, saya nak cadangkan pada menteri besar berilah pertimbangan yang serius melainkan (menteri besar) takut dengan "ketum" ini," kata Shamsudin ketika membahas belanjawan Selangor 2015 di Shah Alam hari ini.

Tiada niat jahat

Selepas itu, Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) bertanya apa yang dimaksudkan dengan 'ketum' sama ada ketua umum atau daun ketum.

Perkara itu menyebabkan Timbalan Speaker yang baru Mohd Shafie Ngah menegur Shamsudin supaya menggunakan istilah yang elok.

"Elakkan istilah yang tak bagus didengar," kata Mohd Shafie yang juga ADUN Bangi.

Kemudian Shamsudin menjawab, beliau menggelar 'ketum' itu sebagai ketua umum PKR dan beliau tidak mempunyai sebarang niat jahat.  

"Ketum itu ketua umum. Kalau ada fikiran prasangka buruk, fikiran jahat, saya tak tahu. Tak masuk campur.

"Saya ketawa setiap masa. Saya tak ada niat jahat. Ketum ialah ketua umum PKR," katanya.

Selepas itu, Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) bangun memberi gelaran balas kepada Shamsudin.

"Kalau ketua pembangkang kata penasihat ekonomi itu ketum, kekang pula ialah ketua pembangkang. Ketua pembangkang, kekang," kata Ng.

Lihat Komen
ADS