Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Suasana Dewan Undangan Negeri (DUN) kecoh apabila isu pemberian kereta rasmi kepada Ketua Pembangkang, Datuk Shamsudin Lias dibangkitkan semasa wakil Sungai Burong itu membahaskan belanjawan Selangor 2015.

Perkara itu dibangkitkan oleh Datuk Teng Chang Kim (DAP-Sungai Pinang) apabila Shamsudin melahirkan hasrat wakil rakyat BN untuk menolak wang RM200,000 setahun yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri kepada setiap ADUN pembangkang.

"Saya nak tanya ketua pembangkang, kalau peruntukan untuk rakyat dalam kawasan DUN pembangkang ditolak, kenapa kereta rasmi pula diterima?" tanya Teng ( kiri ).

Perkara itu mengundang rasa kurang senang Shamsudin dan beliau mengatakan bahawa pemberian kereta rasmi itu diluluskan oleh mantan menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Saya tak minta (kereta) ini. Ia diputuskan pada masa yang lepas. Jangan diungkit-ungkitlah. Saya nak jelaskan pasal kereta rasmi. Kereta ini diluluskan zaman mantan menteri besar yang lalu. Saya rasa macam tak ikhlas saja. Kalau nak diungkit perkara ini, ambil balik. Saya pun tak perlu itu.

"Ungkit. Apa nak diungkit, kalau nak bagi, bagilah. Nak ambil balik saya tak ada masalah," katanya.

Kemudian beberapa wakil rakyat Pakatan mula bangun untuk mencelah. Namun Timbalan Speaker, Mohd Shafiee Ngah meminta kepada semua ADUN untuk duduk.

Antara ADUN yang berebut untuk bercakap ialah Dr Abdul Rani Othman (PAS-Meru), Ng Suee Lim (DAP- Sekinchan) dan R Rajiv (DAP-Bukit Gasing).

Keadaan itu berlanjutan seketika sehingga semua ADUN diarahkan duduk.

Lembu punya susu, sapi dapat nama

Sementara itu, pada sidang medianya, Shamsudin menjelaskan bahawa pemberian kereta rasmi itu perkara yang telah diluluskan semasa pemerintahan Khalid.

Malah, Shamsudin ( bawah ) berkata, beliau hanya menerima sebuah kereta rasmi yang baru memandangkan sebelum ini beliau hanya memandu kereta rasmi yang lama.

Beliau turut menggunakan pepatah "lembu punya susu, sapi dapat nama" apabila Menteri Besar Mohamed Azmin Ali menyerahkan kunci kereta rasmi, semalam.

"Ini tak sepatutnya berbangkit. Ia berbangkit pun kerana semalam menteri besar yang bagi. Inilah yang dikata lembu punya susu, sapi dapat nama.

"Peruntukkan pada ketua pembangkang telah diberi masa mantan menteri besar lagi. Dia beri kereta lama, sebab kereta baru tak sampai lagi.

"Selama ini saya dah bawa ke hulur ke gilir kereta lama. Bila kereta baru ada, dia serah pada saya. Dia (Azmin) ambil publisiti.

"Tak sepatutnya perkara ini timbul. Dalam dewan tadi diungkit. Kalau ungkit sangat, ambillah," katanya lagi.

Bukan main politik

Manakala Speaker DUN Hannah Yeoh pula menjelaskan sekali lagi pemberian kereta rasmi kepada Shamsudin adalah keputusan Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Dewan dan telah diluluskan dalam sidang DUN sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya sebarang tuduhan yang mengatakan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali bermain politik berhubung pemberian tersebut dihentikan segera.

"Saya nak jelaskan kereta ini diberi atas keputusan Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Dewan. Jawatankuasa telah mencadangkan agar kemudahan ini diberi kepada ketua pembangkang.

"Jadi ini bukan isu menteri besar main gimik. Ini keputusan jawatankuasa. Cuma kereta ini baru sampai. Saya harap tidak ada orang menuduh menteri besar main politik.

"Kereta ini baru sampai, tapi kemudahan telah kita berikan. Semua telah diluluskan dalam sidang lepas," katanya pada sidang media.

Ditanya mengeni tindakan Adun BN yang menolak wang peruntukkan RM200,000, Hannah berkata wang itu adalah untuk kegunaan rakyat bagi penganjuran program tertentu.

"Bila tolak (duit peruntukkan), ini menunjukkan bahawa mereka sudah ada duit dan tak memerlukan duit ini. Saya tak tahu, mungkin wakil rakyat BN dapat duit dana dari Persekutuan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS