Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pasma, JK pengurusan krisis PAS bertemu
Diterbitkan:  Nov 25, 2014 9:29 PM
Dikemaskini: 2:20 PM

Hasil pertemuan PAS dengan NGO digerakkan anggotanya Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) akan dibawa ke mesyuarat Pusat PAS awal Disember nanti.

Ahli Jawatankuasa Pengurusan Krisis PAS Salahuddin Ayub ( bawah ) berkata atas mandat yang diberikan mesyuarat pusat PAS, pertemuan dengan Pasma diadakan di Kuala Lumpur semalam, lapor Harakahdaily.

"Jawatankuasa ini telah mengambil inisiatif untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan dan mengambil maklumat tentang isu-isu yang berbangkit terutama isu-isu yang meresahkan ahli-ahli termasuk keputusan Majlis Syura PAS yang melarang ahli-ahli PAS terlibat dengan program Pasma," beliau dipetik sebagai berkata.

Akhbar web PAS itu juga melaporkan bahawa pertemuan dua jam itu berjalan dengan‎ suasana yang baik.

Turut hadir pada pertemuan tersebut ialah anggota Majlis Syura Idris Ahmad dan Penolong Setiausaha Agung PAS Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Di pihak Pasma pula, beberapa pemimpin kanannya hadir, diketuai presidennya Datuk Phahrolrazi Zawawi, yang juga bekas exco Kedah ketika PAS mentadbir negeri itu sebelum ini.

Salahuddin yang juga naib Presiden PAS berkata, jawatankuasa yang dipengerusikannya mengambil maklum mengenai semua isu yang dibincangkan dan tidak akan memberi sebarang komen berbentuk arahan atau persetujuan.

“Segala hasil pertemuan ini akan dibawa pada mesyuarat pusat PAS akan datang‎," beliau dipetik sebagai berkata.

Salahuddin berharap agar semua pihak dan ahli-ahli PAS untuk tidak membuat sebarang spekulasi terhadap pertemuan tersebut.

Lihat Komen
ADS