Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata budaya membuat laporan polis dan mengangkat sepanduk dalam menghadapi asakan terhadap akidah dan syariat Islam bukan lagi jawapan yang tuntas kepada kemelut ummah.

Sebaliknya, kata beliau, anggota Umno perlu memperbanyak perbincangan dan penerbitan mengenai kebebasan dan hak asasi manusia menurut perspektif Islam dan bagaimana Islam menghadapi tantangan sekularisme.

"Kita perlu menangani trend sekularisasi dalam agama ini dengan keteguhan akidah dan ketajaman minda, bukannya diselubungi oleh ketegaran emosi.

"Di samping itu, institusi-institusi Islam perlu diperkasa, penguatkuasaan undang-undang Islam perlu dipertegas dan kerjasama Umno dengan NGO Islam perlu diperkukuh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bertajuk "Merekayasa Perubahan Mendepani Zaman" di Dewan Merdeka di PWTC malam ini.

Cuba buktikan siapa lebih liberal

Dalam ucapannya juga, Muhyiddin turut menyuarakan wujudnya pelbagai cabaran baru dalam soal agama khususnya keluh kesah orang Melayu mengenai kesan faham liberalisme dan sekularisme ke atas akidah umat Islam.

Menurutnya lagi, pada hari ini umat Islam banyak mendengar kes pelanggaran syariat atas nama kebebasan dan hak asasi, penghinaan terhadap umat Islam secara terbuka serta ancaman ekstremisme dan militanisme.

"Dalam konteks perjuangan Umno, semua ini merupakan cabaran baharu yang tidak pernah kita lalui sebelum ini. Kalau dahulu kita cuma berhadapan dengan asakan PAS yang cuba membuktikan siapa lebih Islam.

"Tetapi hari ini kita berada di luar kancah perlumbaan ini. Kita sedang berada dalam dunia pascamoden yang menganggap agama sebagai penghalang kepada kebebasan manusia.

"Dalam realiti hari ini, semakin ramai pula pihak yang cuba membuktikan siapa lebih liberal, bukan siapa lebih Islam," katanya.

Sehubungan itu, timbalan perdana menteri itu menyeru supaya anggota Umno tidak berada dengan kutub khanah lama bagi mencari penyelesaian baru kepada kemelut yang dihadapi oleh umat Islam hari ini.

Jalan pintas ke syurga

Beliau yang juga anggota parlimen Pagoh menggesa anggota parti supaya meneroka ilmu dan kemahiran terkini untuk menangani cabaran semasa itu.

"Bagi saya, di sinilah letaknya peri penting tradisi keilmuan di dalam Umno. Seluruh ahli Umno perlu menambah khazanah ilmu di dada bagi mendepani cabaran masa kini.

"Sebab itulah saudara-saudari sekalian, sebagai pendukung perjuangan suci ini, kita sebagai pejuang Umno bermanhaj wasatiyyah harus tegas menentang gejala esktremisme dan militanisme yang ketika ini begitu cepat mempengaruhi anak-anak muda yang mahukan jalan pintas ke syurga.

"Kita juga tidak akan berkompromi dengan mereka yang cuba memesongkan makna wasatiyyah yang cukup sinonim dengan prinsip kesederhanaan Islam atau moderation dengan membawa ideologi songsang seperti liberalisme dan sekularisme," katanya.

Lihat Komen
ADS