Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Jangan bandingkan saya dengan Azalina'
Diterbitkan:  Nov 26, 2014 11:52 AM
Dikemaskini: 4:19 AM

Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin meminta agar beliau tidak dibandingkan dengan pemimpin Puteri terdahulu, khususnya Ketua Puteri pertama Datuk Seri Azalina Othman Said. 
Beliau yang baru mengambil alih teraju pergerakan sayap parti sejak lebih setahun lalu berkata tidak wajar jika corak kepimpinan mereka dibandingkan memandangkan era dan cabaran yang dihadapi kedua-dua pemimpin itu berbeza.
 
"Azalina berdepan dengan cabaran berbeza kerana beliau memimpin pada waktu Puteri baru ditubuhkan. Puteri ketika itu mendapat perhati an kerana ramai yang mahu melihat peranan Puteri pada awal penubuhannya.
 
"Cabaran yang dihadapi Puteri hari ini jauh lebih berat dan berbeza. Puteri kini berdepan dengan 80 peratus muka baharu yang masih mentah, belum benar-benar memahami wadah perjuangan parti.
 
"Puteri (masa kini) berdepan dengan kemodenan dan kemajuan teknologi yang pesat berkembang," katanya semasa berucap pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri Umno bersempena Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
 
Mas Ermieyati berkata beliau perlu 'bersuara' menjelaskan perkara itu hari ini berikutan pendekatannya untuk berdiam diri selama ini menyebabkan 'orang tidak memandang apa yang saya lakukan'.
 
Beliau seterusnya meminta orang ramai supaya berlaku adil dengan memberi masa kepadanya untuk membuktikan kemampuan mengemudi Puteri serta memberi kepercayaan untuk sayap parti membuktikan kebolehan mereka.
 
"Jangan sekadar mengkritik tanpa mengambil kira cabaran dan tekanan yang Puteri hadapi kini. Jangan begitu cepat menilai Puteri yang baru sahaja saya pimpin ini," katanya. 
 
Tidak hanya berucap kosong, Mas Ermieyati juga 'membentangkan buku rekod beliau' dengan merujuk kepada program yang telah dilakukan sepanjang menerajui pergerakan sayap parti itu.
 
Antaranya adalah penganjuran Program Kembara Ilmu di bawah kendalian Biro Kebajikan, mewujudkan Bazar Bayahista untuk menggalakkan lebih ramai anak muda menceburi bidang perniagaan serta pelbagai program latihan, kursus dan aktiviti sukarelawan.
 
- Bernama

Lihat Komen
ADS