Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat hari ini mengingatkan semua supaya tidak memperkecilkan peranan wanita Umno.

Shahrizat dalam ucapan dasarnya mengenai pindaan perlembagaan Umno di perhimpunan agung Wanita Umno menegaskan langkah mayatnya terlebih dahulu sebelum peranan wanita dipekecil.

"Langkah mayat saya sebelum saya biar Wanita diperkecilkan,” katanya tegas disusuli tepukan gemuruh dari wanita Umno yang lain.

Shahrizat ( kanan ) turut mendapat sorakan apabila beliau berkata “kalau tidak ada makcik maka hancurlah Umno”.

“Kalau tak ada makcik, maka tak ada yang muda, tak ada pemuda,” katanya.

“Kalau saya tak ada, apa yang akan jadi dengan Umno?”

Shahrizat dalam ucapannya meminta satu tempat diberikan kepada wanita Umno bagi jawatan naib presiden Umno apabila pindaan perlembagaan parti dibuat.

"Susah sangat ke nak bagi satu tempat?” soalnya.

Shahrizat berkata, cadangan itu dikemukakan bagi mencapai penyertaan 30 peratus wanita dalam bidang pembangunan dan penggubalan dasar negara.

Petikan ucapan Shahrizat

 
Di dalam perhimpunan ini saya dan Wanita Umno secara tegas menyatakan bahawa kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu di luar sana yang mahu mengugat atau mempertikaikan Agama Islam sebagai agama rasmi, hak keistimewaan Raja-Raja, hak keistimewaan Orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang termaktub di dalam Perlembangaan Persekutuan. 
 
Bagaimanapun kita sebagai orang Melayu dan Bumiputera mempunyai tanggungjawab untuk hidup dengan harmoni bersama bangsa-bangsa lain dalam Negara ini dan kita juga mesti menghormati hak-hak bukan Melayu yang termaktub dalam Perlembgaan Persekutuan. Maka saya mohon supaya janganlah sesiapa mempersoalkan kerakyatan dan kewarganegaraan bangsa seperti kaum Cina dan India yang lahir di sini. Jika kita tak mahu mereka mempersoalkan keistimewaan kita sebagai orang asal tanah ini, kita juga mesti menghormati mereka sebagai rakyat yang mempunyai hak di Negara 
 
AKTA HASUTAN 1948 
 
Kami Wanita Umno tidak bersetuju sama sekali Akta Hasutan 1948 dihapuskan. Saya dan Exco telah membuat ketetapan dan telah disambut baik oleh puan-puan semua dan ahli-ahli Wanita Umno, dan juga beberapa NGO dan golongan professional dan bukan professional yang terdiri daripada  berbilang kaum, bahawa kita akan bergabung tenaga untuk menggerakkan satu kempen untuk mendapatkan satu juta tandatangan menggesa kerajaan supaya tidak memansuh Akta Hasutan 1948 demi keselamatan, keamanan dan perpaduan tanah air. 
 
Satu juta tandatangan ini akan diserahkan kepada YAB Perdana Menteri seawal mungkin sebagai bukti bahawa Wanita Umno memandang serius tentang perkara ini dengan harapan YAB Perdana Menteri dan kerajaan akan mengambil tindakan yang sewajarnya. 
 
Wanita Umno mendesak kerajaan bagi mengekalkan pemakaian Akta Hasutan 1948 dengan penambahbaikan yang bersesuaian dengan mengambilkira keperluan menjaga hak-hak seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, menjamin keselamatan rakyat dan kepentingan  negara. Pada masa yang sama penggubalan Akta Keharmonian Nasional juga wajar diteruskan untuk mempromosi dan menggalakkan semangat harmoni dan saling hormat menghormati di antara semua kaum di Malaysia. 
 
Akta Keharmonian Nasional boleh digubalkan bagi memperuntukkan peruntukan-peruntukan yang bertujuan untuk menggalakkan perasaan muhibah sesama kaum dan keharmonian nasional. Akta ini tidak sewajarnya bersifat menghukum tetapi lebih menumpukan kepada elemen memupuk semangat saling hormat menghormati di antara kaum yang berbeza agama dan kebudayaan. 
 
Walau bagaimanapun mana-mana peruntukan Akta Hasutan 1948 yang tidak lagi relevan, mengambilkira keterbukaan kepimpinan Barisan Nasional hari ini, bolehlah dipinda maupun dimansuhkan dengan segera. Sebagai contoh, peruntukan yang menghalang rakyat mengkritik Kerajaan dan pentadbiran sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Akta Hasutan 1948 sedia ada, 
boleh di mansuhkan demi menyediakan ruang yang lebih luas kepada rakyat untuk bebas bersuara. Sesungguhnya pandangan yang membina dan bertujuan untuk menambahbaik pentabiran dan sistem yang sedia ada hendaklah dialu-alukan dan tidak wajar disekat. 
 
Akan tetapi walau apapun hala tuju berhubung Akta Hasutan 1948 yang bakal dipertimbangkan oleh kerajaan kelak, Wanita Umno bertegas untuk meminta kerajaan berjanji perkara-perkara berikut dilarang dari segi perundangan negara: 
 
• Mendatangkan kebencian dan penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja; 
 
• Mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia; dan 
 
• Mempersoalkan apa-apa hak, kedudukan, keistimewaan kedaulatan atau prerogatif sebagaimana yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III atau Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutan. 
 
TANAH RIZAB MELAYU 
 
Wanita Umno menggesa Kerajaan Negeri mematuhi dan memastikan semua tanah-tanah rizab Melayu yang telah dibatalkan diganti WAJIB semula mengikut Enakmen Rizab Melayu Negeri masing-masing bagi tujuan mengekalkan pegangan tanah-tanah rizab untuk orang Melayu. 
 
Saya difahamkan, malangnya, bahawa ada beberapa negeri dimana Tanah Rizab Melayu kian terhapus tanpa gantian wajib. Jika digantipun, tanah gantiannya tidak setaraf terutama dari segi nilai komersialnya. Saya ingin mencadangkan supaya pindaan undang-undang dibuat dengan memberi kuasa kepada Peguam Negara bagi pihak kepentingan umum ‘public interest’ untuk membuat permohonan terhadap Kerajaan Persekutuan maupun Kerajaan Negeri untuk ganti serupa Tanah-Tanah Rizab Melayu yang telah dilupus tanpa diganti semula. 
 
Saya juga menyarankan apa juga tindakan untuk menggantikan semula Tanah-Tanah Rizab Melayu dan menambah jumlah Tanah Rizab Melayu sebagaimana kadar ditetapkan dalam perundangan dapat dilakukan sesegera yang mungkin. Jangan lagi bertangguh-tangguh, memberi seribu satu alasan teknikal yang akhirnya kita nanti akan dipersoalkan oleh anak cucu kerana gagal mengurus kuasa dan mewariskan sebuah negara yang induknya berkepentingan Melayu. Jadikan sasaran untuk memenuhi kuota Tanah Rizab Melayu sebagai KPI Kerajaan Negeri di bawah Barisan Nasional. 
 
Saya selaku Ketua Wanita Umno Malaysia menghulur tangan tali persahabatan, tali silaturrahim kepada semua rakyat Malaysia berbilang kaum, tidak kira apa fahaman politik, maupun parti, tidak kira apa agama, maupun bangsa, marilah kita bersyukur dengan kenikmatan yang kita kecapi. 
 
Marilah kita balik ke pangkal jalan untuk meluncur kehadapan dan bersatu membina negara yang lebih berjaya dan lebih mulia di bawah kepimpinan Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak selaku Perdana Menteri kita.

Lihat Komen
ADS