Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Gabungan persatuan penduduk Taman Templer dan ahli Kelab Golf Perangsang Templer (PTGC) hari ini menyerahkan memorandum menggesa kerajaan negeri Selangor menghalang projek pembangunan di hutan simpan di kawasan itu. 
 
Pengerusi gabungan itu, Datuk Mokhtar Ismail berkata, projek tersebut perlu dihentikan kerana dikhuatiri akan terus memusnahkan kawasan tadahan air di kawasan itu. 
 
Malah, katanya, sungai di kawasan itu kini sudah ditimbus untuk dijadikan jalan ke kawasan pembinaan.
 
Menurutnya, penduduk di sekitar kawasan pembangunan juga berdepan risiko tanah runtuh dan banjir kilat apabila banyak pokok di kawasan bercerun ditebang. 
 
Katanya lagi, pembangunan di kawasan itu sepatutnya dikaji secara menyeluruh agar ia tidak memberi masalah kepada penduduk. 
 
Justeru, Mokhtar berkata, beliau mengharap Menteri Besar Mohamed Azmin Ali dapat mengambil satu tindakan yang sewajarnya untuk memastikan flora dan fauna di kawasan Templer akan terus dipertahankan. 

"Jika dilihat sekarang ini, pembangunan memusnahkan kawasan tadahan hujan yang sebelum ini dijaga rapi yang mempunyai pelbagai flora dan fauna," katanya  kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu kepada Azmin di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Shah Alam. 

 
Memorandum itu diterima oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Shuhaimi Shafei.
 
Februari tahun lalu, kira-kira 1,600 ahli PTGC terkejut dengan penjualan tanah bernilai RM1.24 bilion oleh kerajaan negeri kepada sebuah syarikat pemaju perumahan untuk pelaksanaan pembangunan bercampur.
 
Mereka turut berasa kecewa apabila kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memberi kelulusan kepada pemaju untuk meneruskan projek tersebut biarpun mendapat bantahan penduduk.
Lihat Komen
ADS