Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Teruskan akta harmoni, kekalkan akta hasutan'
Diterbitkan:  Nov 26, 2014 1:15 PM
Dikemaskini: 5:19 AM

Kerajaan wajar meneruskan penggubalan Akta Keharmonian Nasional tetapi dalam masa yang sama juga harus mengekal dan menambah baik Akta Hasutan 1948.

Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Akta Keharmonian Nasional adalah untuk mempromosi dan menggalakkan semangat harmoni serta saling hormat-menghormati dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Beliau berkata penggubalan akta itu bukan untuk bersifat menghukum, tetapi lebih menumpukan kepada elemen memupuk semangat saling hormat-menghormati antara kaum yang berbeza agama dan budaya.

"Akta Kehormanian Nasional boleh digubal bagi menyediakan peruntukan-peruntukan yang bertujuan menggalakkan perasaan muhibah sesama kaum dan keharmonian nasional," katanya dalam ucapan dasar Ketua Pergerakan Wanita Umno pada Perhimpunan Agung Wanita Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada masa sama, Shahrizat menegaskan kerajaan perlu mengekalkan Akta Hasutan 1948 dengan melakukan penambahbaikan yang bersesuaian serta mengambil kira keperluan menjaga hak-hak seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, menjamin keselamatan rakyat dan kepentingan negara.

Katanya elemen pencegahan dan hukuman perbuatan-perbuatan yang boleh mencetuskan ketidakharmonian sesama kaum dalam akta sedia ada itu hendaklah dikekalkan.

Kerajaan sebelum ini bercadang untuk memansuhkan Akta hasutan 1948 dan menggantikan ia dengan akta baharu yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.

Shahrizat mengesyorkan agar mana-mana peruntukan dalam Akta Hasutan 1948 yang tidak lagi relevan dipinda atau dimansuhkan segera dengan mengambil kira keterbukaan kepimpinan Barisan Nasional ketika ini.

Beliau berkata peruntukan yang menghalang rakyat mengkritik kerajaan dan pentadbiran boleh dimansuhkan demi menyediakan ruang yang lebih luas kepada rakyat untuk bersuara.

"Saya berharap Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak serta kabinet akan berfikir panjang sebelum membuat keputusan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948. Jangan menang sorak hari ini kampung digadai pada hari esok. Nanti jika tangis air mata darah sekalipun, kampung tidak akan kembali lagi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Shahrizat berkata Wanita Umno menggesa kerajaan Negeri mematuhi dan memastikan semua tanah rizab Melayu yang telah dibatalkan wajib diganti semula mengikut Enakmen Rizab Melayu Negeri masing-masing bagi mengekalkan pegangan tanah rizab untuk orang Melayu.

Katanya terdapat beberapa negeri yang menyaksikan Tanah Rizab Melayu kian terhapus tanpa gantian wajib dan jika berlaku penggantian ia tidak setaraf dari segi nilai komersial.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pindaan undang-undang dibuat dengan memberi kuasa kepada Peguam Negara bagi kepentingan umum untuk membuat permohonan terhadap Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri untuk mendapatkan tanah gantian serupa dengan tanah rizab Melayu yang telah lupus.

Menyentuh mengenai isu pendidikan, Shahrizat yang juga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mencadangkan agar Bahasa Arab, Mandarin atau Tamil dijadikan mata pelajaran pilihan di semua sekolah rendah dan menengah sebagai usaha melahirkan pelajar yang berkemahiran dalam pelbagai bahasa.

"Alangkah indahnya jikalau generasi akan datang di Malaysia terdiri daripada generasi pelbagai bahasa 'multi lingual' yang petah bercakap dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Arab, Mandarin, Tamil mahupun bahasa-bahasa lain seperti mana terdapat di banyak negara Eropah," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS