Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Intipati amanat ucapan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan anggota parti bangkit membaiki kelunturan kepercayaan rakyat terhadap Umno itu sememangnya mewakili hasrat, aspirasi dan pandangan generasi muda yang mahukan perubahan dalam parti itu.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin ( bawah ) berkata beliau menyokong penuh ucapan Muhyiddin kerana sebahagian besar daripada ucapannya mewakili pandangan dan juga harapan orang muda kepada Umno.

"Defisit yang disebut itu ialah tanggapan kepada keseluruhan parti terutamanya tanggapan orang muda terhadap parti itu sendiri, bukan terhadap sayap sahaja maka kita perlu berubah dari segala tanggapan negatif yang ada," katanya.

Katanya, Pemuda sependapat bahawa kuasa Akta Hasutan 1948 perlu dikekalkan dengan sama ada mengekalkan akta, memberi nama baru atau menambah baik akta itu, seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden Umno itu.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ( bawah ) menyifatkan teguran yang diberikan Muhyiddin pada ucapan itu sebagai cabaran dan pembakar semangat kepada pergerakan untuk berubah, agar tidak terus berada di takuk selesa.

"Memang pahit untuk kami telan (teguran itu), namun kita perlu berpijak pada realiti, mencari penawar kepada teguran itu. Ini cabaran kepada Wanita Umno untuk memperkukuhkan landasan ke arah yang diminta," katanya.

Mengenai hasrat Muhyiddin yang mahu golongan muda diberi peluang dalam kepimpinan parti, Shahrizat berkata perkara itu tidak mustahil untuk dilakukan kerana 73 ketua bahagian pergerakan itu terdiri daripada orang muda.

Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin ( bawah ) pula berkata anggota-anggota Puteri sentiasa membuka peluang kepada golongan profesional dan para ilmuan bagi berkhidmat kepada masyarakat seperti yang disarankan oleh Timbalan Perdana Menteri itu.

"Namun dalam usaha untuk mendekati golongan ini perlu ditambah lagi dengan turun padang ke akar umbi lebih kerap dan mengajak mereka untuk menyertai program-program kami bagi menjayakan agenda memperkasakan parti.

Inilah masanya untuk anggota-anggota Puteri fokus kepada berkhidmat kepada rakyat... hentikan berpolitik dan mula berkhidmat, " katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS