Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari mengumumkan telah mengumpulkan sejuta tanda tangan bagi menggesa kerajaan supaya tidak memansuh Akta Hasutan 1948.

“Saya amat bimbang dengan keadaan semasa yang tidak sihat.

“Ada pihak-pihak di kalangan masyarakat kita yang dengan sengaja membuat kenyataan-kenyataan yang mempunyai kecenderungan menghasut dan mengambil kesempatan akan isu pemansuhan Akta Hasutan 1948 ini,” katanya.

Shahrizat dalam ucapan dasarnya di perhimpunan agung wanita Umno berkata satu juta tandatangan ini akan diserahkan kepada perdana menteri seawal mungkin sebagai bukti bahawa mereka memandang serius perkara itu.

Beliau turut menyatakan kerisauan mengenai keadaan yang tidak sihat dan memandang serius kepada pihak yang mengambil kesempatan atas pemansuhan Akta Hasutan 1948.

“Tindakan dan perbuatan tidak bertanggungjawab ini telah menyebabkan rakyat berbilang kaum berasa risau, bimbang dan tergugat akan kedudukan dan hak-hak mereka,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang medianya petang ini, Shahrizat menjelaskan bahawa pihaknya baru memulakan pengumpulan tandatangan itu dan ia dijangka selesai pada Januari depan.

Katanya, dua bulan masa yang mencukupi untuk mencapai sasaran itu.

Lihat Komen
ADS