Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Walaupun tugas dan tanggungjawab semakin bertambah, Wanita Umno harus ingat bahawa anggota pergerakan itu masih “kuat” dan “bukan sebarang tua”.

Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Jalil berkata, perkara itu tergambar dalam siri pilihan raya sebelum ini apabila mereka turun padang  memainkan peranan besar memenangkan BN.

I umur 60, you umur 60 mari kita challenge siapa lagi kuat. Tak payah pakai gamat atau minyak pelincir,” ujarnya berseloroh.

Beliau juga menolak tanggapan bahawa anggota golongan itu semuanya sudah berusia dan tidak lagi berupaya membantu Umno.

“Tua bukan sebarang tua.

"(Walaupun) kita tua, kita tidak terlantar (sakit), marilah challenge ,” katanya dalam ucapan penggulungan dalam persidangan pergerakan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (KLCC) hari ini.

Bekas menteri wanita itu juga menegaskan bahawa Wanita Umno adalah tulang belakang dan memikul tanggungjawab besar dalam parti.

“Kita bukan sayap parti tetapi tulang belakang,” katanya.

Shahrizat dalam ucapan dasarnya pagi tadi antaranya meminta satu tempat diberikan kepada wanita Umno bagi jawatan naib presiden apabila pindaan perlembagaan parti dibuat.

Ucapan Muhyiddin memang 'meletup'

Sementara itu, Shahrizat turut mengulas teguran Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin ( kiri ) semalam supaya Umno melakukan perubahan pendekatan dan gerak kerja secara drastik.

Shahrizat berkata, Wanita Umno menerima teguran itu walaupun pahit.

“Ucapannya (Muhyiddin) memang meletup dan saya terdiam, saya akui ia memang pahit.

“Oleh kerana kita (Umno) tengah demam, kalau tak telan ubat macam mana nak baik,” katanya.

Lihat Komen
ADS