Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tuntutan Wanita Umno mungkin wujud pergeseran'
Diterbitkan:  Nov 27, 2014 7:50 AM
Dikemaskini: Nov 27, 2014 6:16 AM

Tuntutan Pergerakan Wanita Umno agar dua kerusi tambahan, masing-masing satu kerusi naib presiden dan naib ketua bahagian, khusus untuk sayap itu perlu diperhalusi kerana dibimbangi akan mencetuskan perpecahan, kata seorang penganalisis politik.
 
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata dikhuatiri sekiranya 'impian' itu dipenuhi akan menimbulkan perebutan sesama anggota pergerakan dan mewujudkan perselisihan.
 
"Kalau minta macam itu sahaja akan jadi pertandingan pula dalam Wanita Umno bagi menentukan siapa yang layak jadi naib presiden dan naib ketua bahagian. 
 
Jika ini berlaku mungkin akan wujud 'ketegangan' dalam kalangan anggota pergerakan," katanya kepada Bernama.
 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas permintaan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam ucapan dasar Ketua Pergerakan Perhimpunan Agung Wanita Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam yang mahu satu kerusi naib presiden dan satu kerusi naib ketua bahagian diperuntukkan untuk Wanita Umno.
 
Shahrizat berkata hasil mesyuarat perwakilan Wanita Umno bahagian tahun ini, 171 bahagian dan 12,483 cawangan menyokong usul berkenaan. Wanita Umno dianggotai 1.3 juta orang, hampir separuh daripada jumlah keseluruhan 3.5 juta anggota Umno.
 
Cadangan itu mendukung kehendak Fasal 3.4, Peraturan Pergerakan Wanita Umno iaitu membangunkan wanita ke arah mencapai 30 peratus dalam bidang pembangunan dan pembuat dasar negara, katanya.
 
Md Shukri menarik perhatian apabila menyatakan jawatan sesuai buat kaum hawa adalah yang melibatkan pentadbiran seperti setiausaha agung dan ketua penerangan kerana golongan wanita lebih teliti dan mampu menjalankan tugas secara lebih teratur.
 
Melihat jawatan tertinggi parti itu sebagai satu pengiktirafan dan boleh memperkasa penglibatan wanita dalam politik, Shahrizat berkata tuntutan bagi kedua-dua jawatan itu tiada berniat mencantas sesiapa.
 
Walaupun menggunakan istilah 'makcik' untuk merujuk anggota pergerakan Wanita, Shahrizat dengan serius menekankan bahawa permintaan Srikandi Negara itu wajar diberi perhatian kerana sumbangannya terutama dalam memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu tidak boleh dinafikan.
 
"Belum disuruh, kamilah (Wanita Umno) yang turun dahulu berkempen dan buat bacaan sikap pengundi. Bagilah makcik-makcik ini peluang. Kalau tak ada (makcik) tak adalah Pemuda dan Puteri, hancurlah Umno," katanya disertai tepukan gemuruh daripada 991 perwakilan di Dewan Tun Ismail di PWTC. 

Peremajaan Umno

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik Dr Kamarul Zaman Yusof berkata peremajaan Umno perlu dilaksanakan serta merta bagi memantapkan perjuangan selain memastikan parti itu kekal relevan dalam landskap politik hari ini, kata penganalisis politik Dr Kamarul Zaman Yusof.
 
Beliau yang mengikuti perkembangan semasa Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno 2014 berkata peremajaan Umno yang dilaungkan sayap itu penting sebagai satu daripada langkah menjamin kelangsungan parti itu dalam menongkah arus zaman.
 
"Kepimpinan tertinggi parti perlu beri ruang dan peluang kepada Pemuda kerana tanpa bantuan pemimpin tertinggi, usaha untuk meremajakan parti sukar dilaksanakan.
 
"Justeru pemimpin yang lama kena ambil pendekatan untuk berundur supaya golongan muda boleh menempatkan diri dalam hierarki parti," kata bekas pensyarah politik Universiti Sains Malaysia (USM) itu ketika dihubungi Bernama.
 
Beliau diminta mengulas isu peremajaan Umno yang disuarakan pimpinan parti termasuk Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin yang menegaskan pentingnya Umno disertai lebih ramai golongan muda dan profesional.
 
Kenyataan senada dengan Najib turut dibuat Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya semasa merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.
 
Muhyiddin menggariskan tujuh langkah pembaharuan yang perlu dilaksanakan Umno dengan segera termasuk mewujudkan modul pengkaderan dan pentarbiahan tersusun bagi melengkapkan perubahan serta peremajaan Umno sebagai parti harapan orang muda pada masa depan.
 
Enam langkah lain yang perlu diambil Umno ialah melahirkan pemimpin muda berwibawa, melakukan pencarian bakat, menyemarakkan semangat kesukarelawanan, mewujudkan institusi naziran di dalam Umno, menggerakkan revolusi mental baru serta membangkitkan gerakan kesedaran nilai undi dalam kalangan masyarakat Melayu.
 
Dalam Perhimpunan Pergerakan Pemuda Umno semalam, isu peremajaan parti menjadi topik dominan dalam perbahasan ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda Umno.
 
Dr Kamarul Zaman berkata, keadaan itu memperlihatkan betapa seriusnya Pemuda untuk membawa perubahan itu yang seharusnya dipandang serius pucuk pimpinan tertinggi parti.

Perkukuh ekonomi Melayu
 
Manakala penganalisis ekonomi, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan pula berkata perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno 2014 perlu memanfaatkan pertemuan kali ini untuk berkongsi idea bagi terus memperkukuh ekonomi Melayu khususnya dan bumiputera amnya menjelang pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11)dan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) tahun depan.
 
Katanya, antara cabaran yang masih membelenggu orang Melayu dan bumiputera ialah defisit golongan profesional yang boleh menggerakkan ekonomi bangsa itu.
 
Ketika ini penyertaan Melayu dan bumiputera dalam sektor profesional seperti kejuruteraan, perakaunan, guaman dan perubatan amat rendah iaitu kurang 10 peratus, kata Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank itu kepada Bernama.
 
Menurutnya semua itu perlu diatasi dalam RMK11 dan perhimpunan agung parti terbesar orang Melayu tersebut adalah medium terbaik untuk perwakilan berkongsi pandangan bagi menghapus kekangan yang menyekat peningkatan Melayu dalam sektor profesional. 
 
Antara perkara yang boleh dilaksana oleh kerajaan ialah mengadakan insentif untuk syarikat berkaitan kerajaan membantu menambah bilangan profesional Melayu dan bumiputera, katanya.
 
Beliau juga berkata usaha memperhebat penguasaan Melayu dan bumiputera dalam ekonomi negara harus dipertingkat.
 
"Bumiputera membentuk 67.9 peratus daripada populasi di negara ini tetapi penguasaan ekonomi bumiputera hanyalah 28.5 peratus daripada keseluruhan pendapatan negara kasar (GNI)," kata beliau.
 
Dari segi pelaksanaan AEC pula, Nazri Khan berkata cabaran yang dihadapi Umno khususnya Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak ialah 'mengantarabangsakan' usahawan Melayu untuk bersaing dalam satu komuniti Asean.
 
 
Perkara ini perlu dilaksana agar usahawan Melayu tidak tenggelam apabila AEC dilaksana kerana mereka bukan sahaja perlu bersaing sesama sendiri tetapi juga usahawan dari negara-negara Asean, kata Nazri Khan. 
 
Beliau turut berharap Umno membincangkan Program Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera bernilai RM30 bilion yang diumum tahun lepas dengan mengusulkan program susulan.
 
Selain itu, beliau juga mengusulkan agar satu sekretariat ditubuh bagi memperkasa Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) agar dapat memberi fokus kepada pelbagai masalah yang dihadapi bumiputera.
 
Perhimpunan Agung Umno 2014 yang berlangsung sejak Selasa akan melabuhkan tirai Sabtu ini dan menghimpunkan 5,739 perwakilan.

 
- Bernama
Lihat Komen
ADS