Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

MP PKR, Rafizi Ramli menggesa kerajaan mendedahkan senarai penerima pinjaman yang berjumlah RM2 bilion daripada Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV).

Katanya, ia perlu didedahkan memandangkan kerajaan “membatalkan” sebanyak RM400 juta hutang MDV, yang dimiliki sepenuhnya oleh kementerian kewangan.

MP Pandan itu mendakwa, “pembatalan” itu dibuat selepas kerajaan menukarkan pinjaman berjumlah RM400 juta itu kepada saham dengan nilai sama dalam MDV.

"MDV adalah syarikat milik penuh kerajaan, apa-apa tindakan untuk meningkatkan ekuiti kerajaan dalam MDV tidak akan memberi apa-apa perbezaaan dari segi kalawan kerajaan pusat,” katanya dalam satu sidang media di bangunan parlimen.

Firma MDV bertujuan untuk membantu syarikat baru dalam bidang teknologi maklumat dengan memberikan pinjaman dan geran.

Rafizi turut membangkitkan semula satu kenyataan CEO MDV, Mohd Zubir Ansori Yahya, bahawa syarikat tersebut menyalurkan dana sebanyak RM2 bilion kepada 250 buah syarikat.

Katanya, tindakan kerajaan yang membatalkan hutang berjumlah RM400 juta itu membangkitkan persoalan sama ada MDV mampu memungut semula hutangnya.

Tambahnya, kebimbangan itu juga berdasarkan kerugian syarikat itu berjumlah RM244 juta dan hutang RM1.6 bilion mengikut imbangan akaunnya tahun lalu.

"Sekiranya ini tidak diteliti, ada kemungkinan bahawa jumlah hutang RM1.6 bilion oleh MDV tidak dapat dijelaskan dan akan tiba masanya rakyat yang terpaksa menanggungnya lagi,” kata Rafizi.

Katanya lagi, kementerian kewangan perlu menyenaraikan penerima pinjaman dan geran daripada MDV untuk memastikan dana tersebut tidak disalurkan kepada syarikat kroni.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS